HSAS mula beroperasi pada Januari 2016. FOTO Shazreen Zamzuri
HSAS mula beroperasi pada Januari 2016. FOTO Shazreen Zamzuri
Faliq Lajim dan Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kelengkapan canggih dan perkhidmatan kesihatan terbaik ditawarkan Hospital Shah Alam Selangor (HSAS) mampu menjadikannya pusat perubatan bertaraf dunia.

Ia satu inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan dalam menyediakan perkhidmatan perubatan dan rawatan berkualiti.

Apatah lagi, penduduk di bandar raya ini sejak sekian lama tertumpu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan.

Mula beroperasi pada Januari 2016, HSAS mampu menampung kehadiran pesakit yang ramai pada satu-satu masa dan sedia memberi perkhidmatan berkualiti.

Setakat ini, 15 perkhidmatan klinikal ditawarkan antaranya kecemasan, perubatan am, pembedahan am, pediatrik am, obstetrik dan ginekologi, ortopedik, oftalmologi; psikiatri, otorinolaringologi (ENT) dan Perubatan Pemulihan.

Selain itu, HSAS menyediakan perkhidmatan klinikal seperti anestesiologi (dewan bedah, unit rawatan rapi, dan wad Kebergantungan Tinggi), pembedahan oral, pediatrik pergigian, diagnostik dan perkhidmatan pengimejan serta jabatan patologi dan bank darah.

Pengarah HSAS, Datin Paduka Dr Hasni Hanapi berkata, hospital itu merekodkan 153,886 pesakit luar yang mendapatkan perkhidmatan di hospital dan klinik pada 2016.

Katanya, pada 2017, jumlah itu bertambah hampir 30 peratus dengan jumlah kedatangan pesakit luar mendapatkan rawatan 221,425 orang.

“Kami menerima 2,169 pesakit ketika awal HSAS dibuka sebelum menyaksikan peningkatan mendadak kepada 27,515 orang,” katanya.

Dr Hasni berkata, peningkatan itu menunjukkan masyarakat sudah lama menunggu kewujudan hospital berkenaan.

“Ini berikutan HSAS satu-satunya hospital di daerah ini. Penduduk di daerah Petaling saja mencecah hampir dua juta.

“Sebaik hospital siap, mereka datang ke sini mendapatkan rawatan, sekali gus menunjukkan ia menjadi keperluan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, operasi dibantu 1,375 kakitangan, termasuk 52 pakar dalam pelbagai bidang, 228 doktor dan pegawai perubatan, 511 jururawat dan 584 staf daripada kategori lain.

Katanya, HSAS mengamalkan konsep hospital kluster iaitu gabungan hospital pakar dan hospital daerah menerusi perkongsian sumber kepakaran bersama HTAR dan Hospital Banting.

Dr Hasni berkata, HSAS menawarkan sub kepakaran perubatan retina iaitu rawatan belakang mata di bawah perkhidmatan klinikal oftalmologi yang jarang ada di hospital lain.

“Kami ada dua doktor pakar dalam bidang ini. Tidak semua hospital menawarkan rawatan ini, malah pesakit dari luar Selangor juga datang ke sini.

“Di sini juga, kami menawarkan perkhidmatan rehabilitasi dengan kelengkapan lengkap.

“HSAS juga mempunyai kolam renang hidroterapi bagi pesakit angin ahmar, kecederaan saraf dan palsy untuk mendapatkan rawatan pemulihan,” katanya.

Sejak dibuka dua tahun lalu banyak pihak terutama mereka yang pernah mendapatkan rawatan di situ menyamakan perkhidmatan ditawarkan seperti perkhidmatan di hospital swasta.

Malah, ia menerima reaksi positif penduduk Shah Alam terutama perkhidmatan di wad bersalin dan kanak-kanak.

Dr Hasni berkata, purata 900 bayi dilahirkan sebulan di HSAS.

“Di sini kami mempunyai 20 bilik bersalin dengan kelengkapan baru. Malah, kami menawarkan konsep mesra suami yang membenarkan suami pesakit memberi sokongan dengan menemani isteri bersalin.

“Wad kanak-kanak HSAS juga dilengkapi lukisan mural yang dapat memberi sokongan moral kepada kanak-kanak.

“Ibu bapa juga tidak perlu risau anak mereka tercicir dalam pelajaran kerana sepanjang dirawat di sini kami mempunyai bilik ulang kaji untuk kegunaan kanak-kanak membaca serta membuat latihan atau kerja rumah,” katanya.

ANUAR Muharram (kiri) menjalani rawatan dialisis di Unit Hemodialisis HSAS. FOTO Muhammad Sulaiman
ANUAR Muharram (kiri) menjalani rawatan dialisis di Unit Hemodialisis HSAS. FOTO Muhammad Sulaiman

Mampu rawat 625,000 penduduk

Bagi 625,000 penduduk Shah Alam dan kawasan sekitarnya, kewujudan Hospital Shah Alam Selangor (HSAS) dekat Seksyen 7 di sini sejak dua tahun lalu, sudah lama ditunggu.

Mereka menyifatkan ia alternatif terbaik berikutan HSAS dilengkapi pelbagai kemudahan itu terletak di pusat komersial dan berhampiran kawasan perumahan.

Berikutan itu, penduduk di bandar raya ini tidak perlu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang yang terletak 10 kilometer dari Shah Alam.

Pasangan yang baru memulakan hidup berkeluarga, Reduan Mohd Azhari, 33, dan isteri, Nur Izzati Abdul Latif, 27, bersyukur lokasi HSAS tidak jauh dari rumah mereka.

Nur Izzati melahirkan bayi pertama mereka tahun lalu dan mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

“Alhamdulillah, keistimewaan HSAS bagi saya dan isteri ialah kemudahan yang selesa. Malah, layanan dan perkhidmatannya baik dan memuaskan.

“Sudah pasti HSAS menjadi pusat kesihatan utama keluarga saya kerana jaraknya hanya tiga kilometer dari rumah kami.

“Saya juga ingin mencadangkan orang ramai mendapatkan rawatan di HSAS kerana kemudahan selesa selain layanan mesra kakitangan,” katanya.

Sementara itu, Nurhazah Ibrahim, 30-an, berkata, kewujudan HSAS dapat menampung kepadatan jumlah pesakit dari Shah Alam dan Klang yang mendapatkan rawatan di HTAR sebelum ini.

Dia antara pesakit yang kerap berulang-alik ke HTAR bagi urusan temu janji dengan doktor dan mengambil ujian darah sejak tiga tahun lalu susulan penyakit dihidapinya.

“Baru-baru ini, saya mendapat rawatan di bahagian kecemasan pada waktu malam di HSAS. Saya dapati pesakit tidak begitu ramai dan keadaan selesa. Pesakit tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

“HSAS buat pengumuman menyatakan jumlah pesakit menunggu untuk dirawat dan jumlah doktor bertugas ketika itu.

“Pemberitahuan begini bagus agar pesakit sedia maklum dengan situasi sebenar dan sabar menanti,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata, Noorazeimah Elias, 34, berkata, jarak dari rumahnya ke HSAS hanya lima kilometer menyebabkan dia memilih hospital itu untuk melahirkan bayi ketiganya.

Dua anaknya sebelum ini dilahirkan di Hospital Putrajaya kerana mahukan keselesaan, selain kediaman ibunya yang berdekatan hospital memudahkannya bersalin di situ.

Kali ini, dia memilih bersalin di HSAS kerana dekat dengan rumah, selain lebih selesa dan mudah.

Puas hati kemudahan pusat hemodialisis

Kewujudan Hospital Shah Alam Selangor (HSAS) membuka lembaran baru dalam kehidupan masyarakat bukan saja di bandar raya ini, malah daerah sekitarnya.

Sebelum ini, penduduk Shah Alam perlu memulakan perjalanan lebih awal untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang atau di Hospital Sungai Buloh berikutan kedudukannya yang jauh, selain mahu mengelak kesesakan jalan raya.

Kini, mereka tidak perlu bimbang kerana jarak HSAS dengan penduduk sekitar dalam daerah Shah Alam kurang 20 kilometer (km), tidak kira sebagai pesakit luar, pesakit yang menerima rawatan mingguan atau bulanan.

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HSAS, Datuk Azhari Shaari berkata, kemudahan yang lengkap dan moden bukan saja menarik perhatian penduduk di Shah Alam, malah penduduk di beberapa daerah sekitarnya.

Katanya, masyarakat khususnya di bandar raya ini sudah menunggu sekian lama untuk sebuah hospital dengan kemudahan sebegini beroperasi berhampiran tempat tinggal mereka.

“Alhamdulillah, pada awal 2016, HSAS beroperasi sepenuhnya dengan memberikan pelbagai perkhidmatan rawatan termasuk pusat hemodialisis.

“Ketika saya melawat serta bermesra dengan pesakit di Pusat Hemodialisis HSAS, mereka berpuas hati dengan kemudahan mesin dialisis dan sokongan.

“Kemesraan kakitangan dan jururawat, selain perkhidmatan yang sangat baik turut menambat hati,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Hemodialisis HSAS.

Beliau berkata, majoriti pesakit di Pusat Hemodialisis mendapatkan rawatan hospital di luar Shah Alam sebelum wujudnya HSAS.

AZHARI (kiri) melawat pesakit di Pusat Hemodialisis HSAS. FOTO Muhammad Sulaiman
AZHARI (kiri) melawat pesakit di Pusat Hemodialisis HSAS. FOTO Muhammad Sulaiman

“Kewujudan HSAS merancakkan pertumbuhan ekonomi di sini seperti bertambahnya peluang pekerjaan di hospital dan kawasan sekitar.

“Kos pengangkutan juga rendah kerana mereka tidak perlu ke hospital kerajaan yang terletak jauh,” katanya.

Azhari berkata, kelengkapan di Pusat Hemodialisis HSAS boleh ditambah berdasarkan kepada permintaan dan perkembangan terkini pesakit yang mendapat rawatan di situ.

“Dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Selangor, setiap DUN di negeri ini akan diwujudkan pusat dialisis bagi membantu meringankan bebanan HSAS.

“Apabila wujudnya pusat dialisis ini, ia boleh menampung lebih ramai pesakit.

“Maknanya, jika berlaku perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pusat dialisis ini diwujudkan segera,” katanya.

Sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat hospital, Azhari berkata, pelbagai usaha dilaksanakan bagi mendekatkan masyarakat dengan HSAS.

“Kami membantu memberi kefahaman kepada masyarakat dari segi kemudahan, kelengkapan dan perkhidmatan HSAS.

“Kami juga meninjau permasalahan di hospital dan mendengar luahan pesakit serta memanjangkan sebarang isu ke jabatan atau Kementerian Kesihatan.

“Baru-baru ini, saya bertemu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan beliau maklum perlunya beberapa kemudahan ditambah baik selaras permintaan kerana sudah pasti kepadatan pesakit di HSAS meningkat pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, pesakit buah pinggang, Anuar Muharram, 65, bersyukur kerana selepas 20 tahun, beliau tidak lagi perlu ke HTAR, untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, sebelum ini beliau menjalani rawatan tiga kali seminggu selama empat jam di HTAR dan kini sudah berpindah ke HSAS.

“Saya sudah 25 tahun menghidap penyakit buah pinggang dan selama itu jugalah berulang-alik ke HTAR tetapi apabila HSAS beroperasi bermula 2016, saya dirujuk ke sini.

“Saya boleh menjimatkan kos perjalanan dan masa kerana saya tinggal di Seksyen 17, tidak jauh dari HSAS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 4:30 AM