DR Mohammed Azman  (kiri) menyampaikan mesin hemodialisis kepada Dr Khalid sambil diperhatikan Dr Jeyaindran.
DR Mohammed Azman (kiri) menyampaikan mesin hemodialisis kepada Dr Khalid sambil diperhatikan Dr Jeyaindran.
Oleh Siti Fatimah Hassan


Sungai Buloh: Hospital Sungai Buloh (HSB) menerima tambahan empat unit mesin hemodialisis baharu bagi menyediakan rawatan kepada lebih ramai pesakit buah pinggang selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan mesin itu ditambah segera ketika tinjauan di Unit Dialisis di hospital berkenaan, dua minggu lalu.

Penambahan mesin baharu yang keseluruhannya bernilai RM160,000 itu menjadikan hospital berkenaan mempunyai sebanyak 37 unit mesin yang boleh menampung antara 85 dan 87 pesakit untuk mendapatkan rawatan secara bergilir-gilir setiap hari.

Mesin berkenaan disampaikan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed kepada Pengarah HSB, Datuk Dr Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai.

Khalid berkata, ketika ini hospital terbabit mempunyai 25 mesin hemodialisis yang beroperasi lebih 10 tahun untuk menampung bilangan pesakit termasuk berstatus negatif, Hepatitis B dan Hepatitis C.

Katanya, biarpun sebanyak 12 daripadanya sudah digantikan dalam bajet tahun lalu, namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan 65 pesakit di hospital itu.

“Dengan jumlah pesakit yang begitu ramai, kami sememangnya memerlukan kemudahan mesin hemodialisis dan petugas yang mencukupi. Walaupun 12 daripada mesin sedia ada sudah digantikan dengan mesin baru, tetapi ia masih tidak mencukupi memandangkan bilangan pesakit agak ramai.

“Kami berbesar hati dengan keprihatinan Perdana Menteri yang mengadakan tinjauan baru-baru ini dan mahu mesin ini ditambah. Ia sudah tentu dapat menyediakan rawatan kepada lebih ramai pesakit kerana setiap mesin ini boleh digunakan sehingga enam pesakit,” katanya di Majlis Penyerahan Mesin Hemodialisis oleh PERKESO kepada Unit Dialisis HSB, di sini, semalam.

Dalam lawatan pada 22 Januari lalu, Najib meluangkan masa membuat tinjauan ke Unit Dialisis HSB bagi melihat sendiri keadaan pesakit yang menerima rawatan selain terpaksa menunggu lama sebelum giliran rawatan hemodialisis.

Sementara itu, Dr Mohammed Azman berkata sehingga tahun lalu, sebanyak RM19.41 juta dibelanjakan pihaknya untuk menyediakan 502 mesin hemodialisis ke beberapa pusat dialisis bertaraf badan bukan kerajaan (NGO), badan amal dan hospital kerajaan di seluruh negara.

Katanya, selain HSB, dua lagi hospital iaitu satu di Kedah dan di Sarawak akan menerima sumbangan mesin hemodialisis menjelang akhir bulan ini bagi menampung keperluan pesakit.

“Penyerahan mesin hemodialisis ini adalah satu usaha strategik jalinan kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mempertingkatkan kualiti kemudahan dialisis kepada pesakit terutama mereka yang diinsurans oleh PERKESO,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:35 AM