Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Pusat hemodialisis perlu diwujudkan di klinik kesihatan (KK) di negeri ini terutama di kawasan luar bandar bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan sekali gus menjimatkan kos mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, meskipun terdapat penambahan mesin hemodialisis baharu di hospital awam (HA), namun ruang yang terhad menyebabkan ia tidak dapat beroperasi.

Malah kata beliau, ekoran kerumitan pesakit untuk ke HA yang mempunyai kemudahan itu, sebilangan daripada mereka terpaksa menanggung kos rawatan mencecah RM2,500 sebulan di pusat dialisis swasta.

"Pesakit dikenakan bayaran RM250 hingga RM300 bagi satu sesi di pusat hemodilisis swasta kerana faktor jarak untuk ke hospital awam. Dalam sebulan, pesakit perlu membelanjakan kira-kira RM2,500 untuk 15 sesi.

"Pesakit yang mendapat biaya daripada badan tertentu seperti baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka mungkin tidak mempunyai masalah. Namun, kita perlu melihat pesakit yang tiada tajaan," katanya pada kenyataan.

Beliau berkata, senarai menunggu di HA sangat panjang menyebabkan pesakit tidak mendapat jadual rawatan yang sewajarnya meskipun terdapat mesin baharu yang ditempatkan.

"Ia umpama satu pembaziran kerana mesin baharu yang disediakan tidak dapat digunakan secara optimum kerana kebanyakan HA di negeri ini tidak mempunyai ruang yang cukup.

"Jalan penyelesaian terbaik adalah dengan mewujudkan pusat hemodialisis di KK terutama di kawasan luar bandar. Ia sekali gus dapat mengelakkan pembaziran sumber dan memudahkan pesakit di kawasan kampung," katanya.

Beliau meminta supaya Kerajaan Pusat dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan dan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Saya mohon supaya kerajaan, melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dapat melihat permasalahan ini dan cadangan ini memang sesuatu yang memberikan kebaikan kepada semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 1:09 PM