TAN (kiri) bersama Chong gembira dengan pencapaian masing-masing.
TAN (kiri) bersama Chong gembira dengan pencapaian masing-masing.
Oleh Mohd Hilmi Mahmud


Walaupun rutin harian seorang pelajar jurusan Diploma Seni Kulinari Kolej SEGi Penang dipenuhi aktiviti bersukan, ia tidak menjadi penghalang kepadanya untuk bergelar pelajar terbaik bagi jurusan itu, baru-baru ini.

Tan Kai Yang, 21, anak bongsu daripada tiga beradik yang berasal dari Juru, Pulau Pinang berkata, pada setiap petang dia menghabiskan masa bersukan di padang.

“Setiap hari saya dan rakan ke padang di sebuah sekolah berhampiran kolej untuk bermain bola keranjang dan kadang-kadang kami juga bersenam di situ.

“Kami bersukan bukan sekadar untuk menyihatkan badan, malah bagi menghilangkan tekanan belajar serta dapat bergaul dengan rakan dari jurusan lain,” kata Tan ketika ditemui pada Majlis Alumni Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan Kolej SEGi di Cititel Hotel di Georgetown,baru-baru ini.

Tan yang memperoleh purata gred keseluruhan (CGPA) 3.4 berkata, dia mengulang kaji pelajarannya pada setiap malam sebelum tidur.

“Sebaik tiba minggu belajar, saya sudah rancang subjek untuk ulang kaji. Walaupun masa singkat, saya buat perancangan mengikut keutamaan.

“Saya akan fokus dan lebihkan ulang kaji pada subjek penting dan sukar sebelum beri tumpuan pada subjek lain,” katanya.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang cef dan menjadikan bapanya sebagai idola untuk berjaya dalam kehidupan.

“Bapa seorang yang tak pernah kenal erti putus asa, sifat itu membuatkan saya jadi lebih yakin untuk terus berjaya dan bergelar cef pada masa akan datang,” katanya.

Berlainan pula dengan Chong Yan Jing, 21, pelajar Diploma Pengurusan Hotel yang muncul pelajar terbaik jurusan itu disebabkan minat mendalam terhadap bidang berkenaan.

Chong yang berasal dari Baling, Kedah, berkata, dia meminati bidang perhotelan sejak kecil selepas melihat pekerja hotel berpakaian kemas dan segak dalam drama dan filem di televisyen.

“Mereka yang bekerja di hotel mempunyai penampilan menarik, berkeyakinan tinggi dan berbudi pekerti tinggi hingga saya tertarik dengan bidang itu.

“Saya bangga dapat menyambung pelajaran di Kolej SEGI dalam bidang diminati dan berjaya menjadi pelajar terbaik,” katanya.

Menurutnya, dia belajar hampir tiga jam pada setiap malam dengan berpandukan pada nota dibuatnya sendiri bagi setiap subjek.

“Saya membuat catatan ringkas setiap kali menghadiri kuliah dan akan membacanya setiap malam agar tidak lupa apa yang dipelajari.

“Setiap kali tiba minggu belajar, saya melakukan perkara sama menyebabkan saya tak pernah gementar memasuki dewan peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Kolej SEGi Penang Cheach Teong Keat berkata, Majlis Alumni Pelajar Kolej SEGi bagi Fakulti Perhotelan dan Pelancongan dirancang dan dilaksanakan pelajar sendiri.

“Kita beri peluang kepada mereka menganjurkan majlis berdasarkan apa yang dipelajari ketika belajar di kolej.

“Mereka mempraktikan apa yang dipelajari untuk melaksanakan majlis ini dan sememangnya ia majlis yang berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 11:06 AM