SEORANG pelajar menulis jawapan algebra pada kukunya.
SEORANG pelajar menulis jawapan algebra pada kukunya.
JAWAPAN-jawapan peperiksaan yang ditulis di belakang kalkulator menggunakan pensil.
JAWAPAN-jawapan peperiksaan yang ditulis di belakang kalkulator menggunakan pensil.

Sejak peperiksaan diperkenalkan di sekolah atau pusat pengajian, pelbagai helah digunakan pelajar untuk menipu bagi mendapatkan markah yang tinggi.

Helah juga berkembang mengikut peredaran zaman dan peralatan canggih seperti pen ultraungu, fon telinga dengan warna kulit serta cermin mata berkamera kini digunakan untuk menipu dalam peperiksaan.

Satu perbincangan di laman sosial Quora mendedahkan beberapa penipuan ‘genius’ oleh pelajar yang mahu mendapat keputusan cemerlang.

Beberapa guru mendedahkan kejayaan mereka membongkar penipuan itu.

Guru, Morgan Evans memberitahu, antara cara pernah dilihatnya sepanjang menjadi guru ialah penggunaan pada bahagian dalam label botol air.

Katanya, dia pernah menangkap pelajar menggunakan jam pintar untuk mencari jawapan di Internet.

Seorang lagi guru, Lea Hi pula mendapati pelajar sekarang sangat inovatif.

Ujarnya, pelajar kini menggunakan pelbagai alatan kawalan jauh, fon telinga halimunan dan alatan elektronik berbeza untuk membantu mereka cemerlang dalam peperiksaan.

Minggu lalu, kira-kira 3,000 pelajar Universiti Rangsit di Thailand diminta menduduki semula ujian kemasukan selepas pensyarah menemui alatan menipu canggih.

Tiga pelajar ditangkap menggunakan cermin mata dengan kamera tanpa wayar pada bingkai untuk menghantar imej kepada satu kumpulan, yang kemudian menghantar semula jawapan menerusi jam pintar yang dipakai mereka.

Rektor Universiti Rangsit, Arthit Ourairat berkata, tiga pelajar itu membayar AS$23,000 (RM92,495) setiap seorang untuk alat canggih berkenaan berserta jawapannya sekali.

Kembali kepada perbincangan di Quora, beberapa pengguna mendedahkan ada pelajar bergantung kepada beberapa helah kuno yang pernah digunakan sebelum ini.

Seorang pelajar, Devatrisha Purkayastha mendedahkan rakan sekelasnya pernah melukis beberapa ikon pada papan hitam secara rahsia yang kemudian ditiru rakan-rakannya.

“Ketika peperiksaan komputer kami diminta untuk melukis ikon Microsoft office dan seorang rakan kami muncul dengan satu idea.

“Dia melukis beberapa ikon yang sukar di satu sudut pada papan hitam di hadapan kami. Tiada guru tahu mengenainya,” katanya.

Brandon Willington pula berkata, rakannya menempah khas pen supaya nota kecil boleh dimasukkan ke dalam bahagian berongga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:02 AM