SITI Zurianah menunjukkan cara membasuh tangan dengan betul kepada kanak-kanak pada aktiviti tugasan sukarelawan.
SITI Zurianah menunjukkan cara membasuh tangan dengan betul kepada kanak-kanak pada aktiviti tugasan sukarelawan.
Siti Khairunnisa Mohamad Nayan


Kuala Lumpur: Minat mendalam dengan aktiviti kesukarelawanan membuatkan Siti Zurianah Ismail, 26, bergiat aktif menyertai puluhan misi sukarelawan di Malaysia mahupun peringkat antarabangsa.

Setakat ini, dia menjejakkan kaki ke Vietnam, Laos, Perancis, Filipina, Indonesia dan Thailand untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara terbabit.

Zurianah yang bertugas di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, dia mula aktif dengan program sukarelawan peringkat global apabila terbabit dengan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) pada 2013.

Katanya, pengalaman paling tidak dapat dilupakan ketika menyertai misi sukarelawan Kitchen in Calais (KiC) di sebuah kem pelarian transit di Calais, Perancis.

“Saya dan lima sukarelawan YSS mencurah bakti selama 20 hari memasak dan menyediakan makanan kepada pelarian dari pelbagai negara seperti Syria, Iran serta Pakistan selama 18 jam setiap hari kepada 1,500 pelarian yang bergelut dalam kelaparan.

“Perkara paling menyedihkan apabila melihat pelarian menggagahkan diri beratur hanya kerana sepinggan nasi biarpun berdepan dengan gas pemedih mata dilepaskan polis.

“Kami turut berpeluang melihat cubaan pelarian untuk keluar dari kem pelarian kerana mahu menyusup ke bandar terdekat dengan menahan lori atau treler di lebuh raya berdekatan,” katanya.

Menurutnya, aktiviti sukarelawan yang dilakukan dalam semua program kesukarelawanan membabitkan enam aspek iaitu pembangunan komuniti, pendidikan, kesihatan, kebudayaan, bantuan kecemasan dan keusahawanan sosial.

“Kami bukan menjalankan program hanya sekali di kawasan berkenaan, malah kami akan melakukan susulan dari semasa ke semasa untuk melihat perkembangan yang dapat dilakukan.

“Tahun lalu, saya dijemput ke 23 sekolah di Kemaman, Terengganu untuk berkongsi pengalaman dan memberikan inspirasi kepada 3,500 pelajar mengenai aktiviti kesukarelawanan, malah program ini akan diadakan lagi bulan ini,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, minatnya dalam kesukarelawanan timbul selepas menyaksikan pengorbanan ibunya menjaga adik keduanya yang juga orang kurang upaya (OKU) pertuturan.

“Daripada situ, saya yakin bahawa bantuan boleh dihulurkan bukan saja daripada segi kewangan, malah melalui sumbangan tenaga, kemampuan dan kepakaran.

“Saya juga dijemput ke program peringkat antarabangsa seperti National Aspiration and Leadership Summit (NALS) 2018 sebagai panel untuk berkongsi pengalaman sebagai sukarelawan yang tinggal bersama pelarian di Calais, Perancis,” katanya.

Anak kelahiran Labis, Segamat, Johor ini juga menerima beberapa anugerah seperti Anugerah Sukarelawan Siswa Terbaik kerana penglibatannya dalam aktiviti kesukarelawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 6:37 AM