SISWA UPSI menunjukkan cara betul menjaga kebersihan gigi kepada kanak-kanak di Kampung Pray Bis, Kemboja.
SISWA UPSI menunjukkan cara betul menjaga kebersihan gigi kepada kanak-kanak di Kampung Pray Bis, Kemboja.
Ruhaiza Rusmin


Dalam usaha mewujudkan budaya sukarelawanan berimpak tinggi, Kelab Fasilitator Bitara (KeFB) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan UPSI Outreach Mission ke Sekolah UPSI dan Kampung Pray Bis di wilayah Chhnang, Kemboja, baru - baru ini.

Program dijalankan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, kerajaan Negeri Perak dan dibantu Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Seramai 18 sukarelawan daripada pelbagai program bergabung kemahiran dan idea menjayakan misi yang menyasarkan empat fokus kluster iaitu pendidikan, kesihatan, khidmat komuniti dan kebudayaan.

Pengarah program, Mc Lly Adrian Simon berkata, program itu menjadi platform kepada siswa untuk berkhidmat kepada masyarakat, selain mengaplikasikan ilmu dipelajari di luar kampus.

“Ia sebagai usaha memberi penekanan kepada siswa untuk meperluaskan kemampuan bersama komuniti selain menilai ilmu dipelajari.

“Diharapkan program ini menjadi platform untuk memperkukuhkan kemahiran insaniah siswa, sekali gus membantu mereka membuat persediaan sebelum menamatkan pengajian.

“Selain itu, ia bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda dan menyuntik nilai positif ,” katanya.

Majlis pelepasan misi itu disempurnakan Ketua Timbalan Pendaftar (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Azzah Abdul Latif.

Program seminggu itu memberi peluang kepada sukarelawan menyelami kehidupan budaya setempat termasuk menghadiri majlis perkahwinan masyarakat Islam Kemboja.

Turut diadakan, aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berkonsepkan ‘Fun Based Learning’ bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam, selain aktiviti penjagaan kesihatan dan melukis mural di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 12:15 PM