ANTARA aktiviti kesukarelawanan yang diadakan YSS di Viantiane, Laos. FOTO ihsan YSS
ANTARA aktiviti kesukarelawanan yang diadakan YSS di Viantiane, Laos. FOTO ihsan YSS
Suraya Roslan


YAYASAN Sukarelawan Siswa (YSS) menyeru lebih ramai mahasiswa menyahut cabaran untuk menyumbang bakti kepada masyarakat di samping membina potensi diri ke peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Aiman Mohd Zin berkata, YSS adalah entiti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan mula beroperasi pada 2012.

"Termaktub dalam Malaysia Education Blueprint 2015-2025 Lonjakan Pertama, tujuan utama penubuhan YSS adalah untuk melahirkan pemimpin sukarelawan global dan menjadikan Malaysia sebagai hab Sukarelawan Siswa.

"Dengan platform ini diharapkan lebih ramai mahasiswa menyahut seruan untuk menyumbang bakti kepada masyarakat di samping membina potensi diri ke peringkat global," katanya dalam satu kenyataan.

MUHAMMAD Aiman Mohd Zin
MUHAMMAD Aiman Mohd Zin

Muhammad Aiman berkata, dengan slogan 'Winning People's Hearts, Mind and Soul Beyond Borders', YSS komited melatih penuntut yang berminat dalam kesukarelawanan melalui misi Sukarelawan Siswa YSS yang dirancang di peringkat nasional atau antarabangsa.

"Seramai 1,481 alumni YSS terdiri daripada penuntut IPT Malaysia dan negara ASEAN berjaya mendapat manfaat daripada 48 misi Sukarelawan Siswa serta puluhan program dan aktiviti yang dijalankan oleh kami.

"Walaupun negara dilanda Covid-19, YSS akan memastikan elemen kesukarelawanan dalam kalangan penuntut IPT diperkasa melalui tiga inisiatif baru iaitu e-Volunteering, e-Training dan DO-Nation Project," katanya.

Katanya, usaha dan inisiatif dilaksanakan YSS bukan saja berjaya meningkatkan kemahiran kesukarelawanan dan menjalinkan persahabatan baru dalam kalangan penuntut terbabit malah pengalaman yang dilalui mahasiswa terpilih juga dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan di masa depan.

"Melalui misi Sukarelawan Siswa YSS berimpak tinggi ini terutamanya Sukarelawan Siswa, penuntut yang terbabit didedahkan dengan pelbagai kemahiran insaniah ketika di lapangan.

"Kemahiran diperoleh ini pula bermanfaat untuk dipraktikkan dan diperlukan majikan pada hari ini dan masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 2:45 PM