VLDP yang diadakan secara maya membabitkan mahasiswa negara Asean baru-baru ini. Foto Ihsan YSS
VLDP yang diadakan secara maya membabitkan mahasiswa negara Asean baru-baru ini. Foto Ihsan YSS
Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Usaha sukarelawan dalam menjalankan misi bantuan kepada golongan terjejas harus dilipatgandakan terutamanya jumlah golongan yang memerlukan semakin bertambah sejak pandemik Covid-19 melanda.

Menyedari keperluan itu, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) menerusi Program Pembangunan Kepimpinan Sukarelawan (VLDP) tampil melatih sukarelawan bukan saja dalam negara, malah membabitkan mahasiswa negara Asia Tenggara (Asean) lain.

Ketua Pegawai Eksekutif YSS Muhammad Aiman Mohd Zin berkata, program tahunan itu dijalankan secara webinar yang berlangsung selama sembilan hari bermula 26 November hingga 5 Disember lalu.

"Seramai 400 sukarelawan daripada negara Asean termasuk Malaysia menyertai VLDP ini yang bertemakan 'Perkembangan Menuju 2030: Digitalisasi dan Covid-19'.

"Tema ini diambil bagi mendedahkan kepentingan pembangunan inklusif dalam memastikan revolusi digital disebabkan oleh pandemik di seluruh dunia dapat membabitkan semua lapisan komuniti," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pelbagai pendedahan mengenai kedudukan ekonomi serta bagaimana pandemik memberikan kesan kepada golongan yang tidak bernasib baik turut disampaikan oleh wakil daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia.

"Pada masa sama, webinar berkenaan turut menyiarkan pelbagai sesi bersama pakar di dalam dan luar negara dalam bidang kesukarelawanan untuk pembangunan serta bidang-bidang yang menyokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Matlamat Pembangunan Mampan (UNSDG) seperti perubahan iklim, pendidikan berkualiti, kesihatan mental serta pengurusan kewangan ketika pandemik.

"Selain mendedahkan kepada peserta mengenai kepentingan untuk membentuk sebuah sistem yang bersifat inklusif, program tersebut turut memberi manfaat kepada peserta dengan perkongsian prestasi Asean dalam mencapai UNSDG 2030 serta memberikan inspirasi kepada peserta untuk terus menjalankan kerja kesukarelawanan yang berimpak tinggi dan memberikan manfaat berterusan kepada komuniti," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Aiman berkata, sebagai penutup program, YSS turut mengadakan pelancaran platform sukarelawan digital dan latihan kesukarelawanan yang boleh diakses orang ramai mulai penghujung Januari 2021.

Katanya, pelancaran itu akan disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad selaku Patron YSS bersempena dengan Sambutan Hari Sukarelawan Sedunia pada 5 Disember setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 7:40 PM