AHLI Misi Sukarelawan Siswa YSS selamat tiba di KLIA, semalam.
AHLI Misi Sukarelawan Siswa YSS selamat tiba di KLIA, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor

Sepang: Hanya tidur enam jam sehari selain terdedah dengan risiko gas pemedih mata dilepaskan polis antirusuhan.

Itu pengalaman mendebarkan dikongsi enam sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang mencurahkan bakti selama dua minggu ‘melayan’ 1,500 pelarian menerusi misi sukarelawan ‘Kitchen in Calais’ (KiC) di sebuah kem pelarian transit di Calais, Perancis sejak 28 Ogos lalu.

Hanya linangan air mata yang dapat menggambarkan betapa sukarnya kehidupan pelarian berkenaan yang kini bergelut dalam kelaparan dalam kem pelarian yang padat serta dikawal ketat oleh polis anti rusuhan Perancis.

Berkongsi kesukaran itu, Ketua Pasukan Sukarelawan Abdul Rahim Rahman berkata, kehadiran pihaknya di Calais di bawah misi KiC ibarat ‘bulan jatuh ke riba’ kerana ia peluang sekali dalam seumur hidup bagi mencurah bakti serta khidmat sukarelawan kepada pelarian di kem berkenaan.

Menurutnya, menerusi KiC, pihaknya ditugaskan membantu pasangan suami isteri warga Malaysia, Jamalulail Ismail, 47, dan isterinya, Sofinee Harun, 41, untuk menyediakan makanan dua kali sehari kepada 1,500 pelarian.

“Kami tidak keseorangan kerana KiC turut dibantu empat sukarelawan lain yang juga pelajar Malaysia yang menuntut di Jordan dan United Kingdom (UK).

“Pelbagai kisah mendebarkan kami hadapi termasuk berdepan dengan risiko gas pemedih mata yang dilepaskan polis antirusuhan Perancis. Apa yang menyedihkan mereka (polis) melepaskan gas pemedih mata hampir setiap hari terutama ketika pelarian sedang beratur untuk mendapatkan makanan,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Katanya, dia akui sedih terutama melihat pelarian yang terpaksa menggagahkan diri untuk beratur biarpun terpaksa berdepan gas pemedih mata demi mendapatkan sepinggan nasi.

Abdul Rahim berkata, pihaknya difahamkan, polis anti rusuhan sengaja mencetuskan kekecohan kerana kem pelarian itu tidak diiktiraf oleh kerajaan Perancis malah, ia juga akan ditutup.

“Sebelum ini, wujud dua kawasan penempatan namun, ia dikecilkan kepada satu kawasan menyebabkan lebih 9,000 pelarian berkumpul di satu kawasan yang padat dan menyukarkan,” katanya.

Sementara itu, Siti Zurianah Ismail, 24, berkata, setiap hari, pelarian akan dihidangkan dengan menu seperti nasi; kari dalca; ayam dan kentang namun, ia masih tidak mencukupi.

“Setiap hari, kami memperuntukkan kira-kira 120 hingga 160 kilogram (kg) beras; 80 hingga 100 kg kentang; 100 hingga 140 kg ayam dalam sehari dan ia disumbangkan oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan asing,” katanya.

Selain itu, katanya, dia dan rakan turut berpeluang melihat cubaan pelarian untuk keluar dari kem pelarian dipercayai mahu menyusup ke bandar terdekat dengan menahan lori dan treler di lebuh raya berdekatan.

“Pelarian di sini menyebut cubaan itu sebagai ‘dugar’ iaitu mereka akan menahan lori dan treler sementara rakan pelarian larian akan melompat dan menyusup melalui bahagian muatan kenderaan,” katanya.

“Bagaimanapun, cubaan itu digagalkan polis antirusuhan dan dikesan di pos kawalan berdekatan,” katanya.

. Pelarian yang dikesan disumbat semula ke dalam kem pelarian,” katanya.

Selain Abdul Rahim dan Siti Zurianah, misi berkenaan turut disertai Nurul Azlinda Ab Razak, 24; Muhd Nur Ikhwan Naridan, 23, dan Runiy Maldud, 25.

Kem pelarian transit di Calais, Perancis yang turut dikenali sebagai ‘The Jungle’ kini menempatkan lebih 9,000 pelarian dari pelbagai negara termasuk Syria; Sudan; Eritrea; Afghanistan; Iraq dan Iran.

Ia terletak kira-kira 45 kilometer dari sempadan UK di Dover selain berdekatan dengan pos sempadan imigresen dan kira-kira 15 minit perjalanan dari penempatan penduduk.

Difahamkan, kira-kira 700 kanak-kanak di bawah umur yang tidak mempunyai ibu dan bapa ditempatkan di kem pelarian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:16 AM