SYAFIQAH (kanan) dan Normaznah bergambar dengan memakai pakaian seragam jururawat di puncak Gunung Datuk, Rembau. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SYAFIQAH (kanan) dan Normaznah bergambar dengan memakai pakaian seragam jururawat di puncak Gunung Datuk, Rembau. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


BAGI merealisasikan impian mahu bergambar dengan uniform kerja di puncak Gunung Datuk, dua jururawat Hospital Kota Tinggi (HKT), Johor turut membawa bersama pakaian itu sebelum memakainya di puncak gunung.

Ia menjadi detik indah buat Normaznah Gidos, 34, dan Syafiqah Kamarudin, 35, bersama 13 rakan dari Kelab XPDC dan Rekreasi HKT apabila berjaya mendaki Gunung Datuk berketinggian 855 meter dari aras laut, Sabtu lalu.

Syafiqah yang juga ketua ekspedisi berkata, dia sudah lama merancang untuk mendaki Gunung Datuk sekali gus mahu bergambar memakai pakaian seragam jururawat di puncak.

“Saya selalu melihat gambar-gambar pendaki gunung yang memakai pakaian biasa tetapi tidak dengan uniform kami yang serba putih. Bagi saya ini sebagai satu cara menghargai pakaian seragam dengan membawanya sehingga ke puncak gunung.

“Saya berpuas hati kerana hasrat saya tercapai apabila berpeluang bergambar bersama pakaian seragam yang jarang-jarang kita lihat jika di puncak gunung dan pastinya saya berbangga dengan kerjaya ini,” katanya.

Normaznah pula berkata, dia turut membawa pakaian seragam kerja kerana turut tertarik dengan idea itu.

“Memang seronok apabila dapat bergambar dengan pakaian seragam yang biasa kita pakai di hospital waktu bertugas. Bagi saya ia satu kepuasan dan rasa bangga dengan kerjaya kami.

“Ramai juga rakan sekerja yang menyesal tidak membawa pakaian seragam kerana tidak terfikir berbuat demikian dan ada yang berharap mahu datang lagi dengan membawa pakaian rasmi kami di tempat kerja," katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

KHARTINA menerima sijil penghargaan pada Majlis Penghargaan Buat KKM  di Hospital Serdang, Selangor, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
KHARTINA menerima sijil penghargaan pada Majlis Penghargaan Buat KKM di Hospital Serdang, Selangor, hari ini. FOTO Aizuddin Saad

Sementara itu, Syafiqah berkata, ekspedisi terbabit sudah menjadi rutin tetap kelab yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu.

“Program seperti memanjat gunung, bukit atau riadah di hutan sudah menjadi rutin bagi kami warga HKT yang dirancang sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

“Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan kerja dan kami seronok setiap kali aktiviti seperti ini diadakan.

“Gunung Datuk bagi kami amat bagus dan mencabar terutama kalau hujan. Selepas ini kami merancang untuk mendaki Gunung Besar Hantu di Jelebu pula " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 5:41 PM