NORAINI berada di kawasan gunung berapi Rinjani di Pulau Lombok, Indonesia.
NORAINI berada di kawasan gunung berapi Rinjani di Pulau Lombok, Indonesia.
Amrullah Abdul Karim


Batang Kali: Siapa sangka pada usianya melebihi setengah abad, ibu kepada tiga anak ini masih mampu menawan puncak gunung termasuk gunung berapi selain gunung di Nepal yang dianggap antara paling berbahaya di dunia.

Itulah aktiviti kegemaran Noraini Ali yang kini berusia 56 tahun.

Walaupun berstatus ibu tunggal, Noraini tetap meneruskan minatnya dalam aktiviti mendaki gunung.

Baginya, bukan rekod yang mahu dicatat atau jauh sekali meletakkan dirinya sebagai jaguh, tetapi apa yang ingin dirasai hanyalah peluang melihat keajaiban dan keindahan alam ciptaan Tuhan dari puncak yang sukar dijejaki manusia lain.

Hobi luar biasa itu membuatkan Noraini atau lebih mesra dengan panggilan Bonda dalam kalangan pendaki cukup disenangi dan aktivitinya yang dimuat naik di laman sosial sering menjadi tatapan ramai pengikutnya.

Menurut Noraini, biarpun usianya semakin meningkat dan kadang kala dinasihatkan anak untuk berhenti dia sering terpanggil untuk terus mendaki gunung.

SELAIN mendaki, Noraini juga aktif dalam sukan berbasikal.
SELAIN mendaki, Noraini juga aktif dalam sukan berbasikal.

“Kebesaran Allah SWT, lukisan dan keindahan ciptaan-Nya yang menarik saya melakukan aktiviti ini.

“Hati saya tenang dan bagi saya tempat seperti itu yang mendekatkan diri kepada Pencipta,” katanya.

Menurutnya, mendaki gunung bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan stamina dan tahap kesihatan baik.

Katanya, adakala ketika berada di kawasan cerun atau berhalangan, pendaki perlu mendaki dalam keadaan meniarap dan merangkak serta tidak sesekali leka.

Walaupun pernah berdepan risiko kematian, Noraini tetap meneruskan minatnya dan sejak aktif mendaki enam tahun lalu dia sudah menawan lebih 50 puncak gunung di Malaysia, Indonesia, Nepal dan Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 9:26 AM