DARI kiri, Nona, Khairul dan Nan.
DARI kiri, Nona, Khairul dan Nan.
Intan Mas Ayu Shahimi

Meriah ruang Studio Jalan Riong, Kuala Lumpur dengan kehadiran tiga personaliti muda ini minggu lalu. Sesekali wajah ceria bertukar apabila di depan lensa kamera. Langsung tidak kekok ketika disuruh menukar gaya.

Walau pada mula nampak sedikit gementar, mereka tenang menghabiskan sesi penggambaran pagi itu dengan perasaan teruja. Nurmazlina Abd Halim, 33, dan suami, Narwazi Madin, 39, mungkin tidak cukup dikenali dalam kalangan pendaki gunung berbanding Khairul Hak Abd Razak, 33.

Namun wanita ini bukan calang-calang orang. Ketika Hati melamarnya untuk ditemu ramah, wanita yang mesra dengan panggilan Nona ini berkali-kali menolak dengan alasan lebih ramai wanita hebat dan berpengalaman luas berbanding dirinya.

Mujur akhirnya ibu kepada dua anak ini mengalah. Bukan soal hebat atau kaya pengalaman yang hendak ditonjolkan, tapi dia antara wanita luar biasa yang tidak pernah lelah mencabar kemampuan diri sekalipun dihambat pelbagai komitmen sebagai anak, isteri dan ibu berkerjaya.

Menariknya, Nona tidak bergerak sendirian. Dia nekad mengheret suami tercinta untuk turut aktif mendaki dan menawan puncak di serata negeri, sekali gus berkongsi hobi yang sama.

Ketika itulah mereka bertemu dengan Khairul. Menyandang tugas sebagai sweeper (kru mendaki paling akhir yang bertanggungjawab mengawasi dan memberi motivasi kepada peserta di belakang), Khairul pernah membantu Nona menamatkan pendakian ke puncak selepas wanita itu mengalami kecederaan kecil ketika mendaki Gunung Kenderung, di Gerik, Perak.

NONA dan Narwazi ketika menyertai ekspedisi mendaki bersama-sama.
NONA dan Narwazi ketika menyertai ekspedisi mendaki bersama-sama.

Ketagih mendaki - Nona, Nan

Bercerita lanjut berkenaan pembabitannya dalam aktiviti mendaki, Nona berkata ia bermula dari minat dan kecenderungan dirinya terhadap alam semula jadi, terutama hutan.

“Saya sukakan aktiviti lasak sejak kecil. Ketika zaman bujang, saya pernah berkunjung ke Taman Negara, Endau, Rompin. Namun, nasib tidak menyebelahi, saya nyaris lemas selepas jatuh tergelincir dan dibawa arus deras.

“Syukur alhamdulillah, dalam keadaan panik, saya terdengar jeritan orang di tebing yang menyuruh berpaut pada tali merentasi sungai. Walaupun kejadian itu masih segar di ingatan, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus meneroka hutan, menyeberangi sungai serta menawan gunung.

“Malah dua tahun lalu, saya mengambil keputusan kembali aktif menyertai aktiviti perkhemahan dan akhirnya terjebak dalam kelompok pendaki,” katanya.

Menurut Nona, sepanjang aktif menawan puncak, hanya tiga kali dia menyertai aktiviti itu sendiri. Selebihnya, wanita ini selesa ditemani suami.

“Pada awalnya, Abang Nan (suami) memang sekadar jadi peneman. Tetapi selepas melalui sendiri pengalaman mendaki dan berjaya tiba ke puncak, dia terus jadi pengikut setia.

“Katanya, mendaki adalah sukan bebas kecederaan. Selagi pandai menjaga diri dan mengikut nasihat serta panduan yang diberi, mendaki boleh memberi kepuasan besar buat sesiapa saja. Paling penting, Abang Nan sendiri berjaya menurunkan berat badan hingga 10 kilogram sepanjang aktif mendaki,” katanya sambil ketawa.

NONA aktif mendaki sejak dua tahun lalu.
NONA aktif mendaki sejak dua tahun lalu.

Ditanya mengapa memilih sukan mendaki, wanita ini mengaku dia sentiasa teruja untuk tiba ke puncak berbanding melakukan aktiviti berjoging atau ke gimnasium kerana sukar mendisiplinkan diri dengan rutin kecergasan. Apatah lagi ekspedisi mendaki menawarkan suasana tenang, udara segar, pemandangan indah dan ramai kawan baru.

Hal serupa dengan kebanyakan pendaki, mereka menjadikan pesona alam, kehijauan hutan, peluang menghirup udara segar dan kepuasan menawan puncak sebagai sebab utama memilih aktiviti itu sebagai hobi.

“Saya bertuah kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan suami yang sentiasa memberi sokongan. Kadang-kadang, mungkin terpaksa berjalan hingga empat ke lima jam dengan beban yang besar. Jadi, abang Nan akan pikul barang yang berat, sementara saya akan bawa setakat termampu.

“Banyak lagi kelebihan apabila suami ikut mendaki. Tambahan jika menyertai ekspedisi dengan kumpulan pendaki berbeza. Ada yang kenal, tetapi biasanya ramai juga yang tidak kenal.

“Kalau penat, suami akan bantu dan beri sokongan untuk meneruskan perjalanan sampai ke puncak. Jadi, kru yang ada boleh fokus kepada ahli lain. Jika hendak buang air, suami boleh temankan. Itu lebih selesa berbanding mengajak orang yang kita baru kenal.

“Malah kami juga pernah membawa anak sulung menyertai ekspedisi mendaki Gunung Bah Gading. Kebetulan ia memang diatur untuk keluarga, jadi kami cuba realisasikan impian anak yang mahu ikut serta.

“Sepanjang perjalanan, kami merentas 12 sungai besar dalam cuaca hujan. Kebetulan ada ustaz dan anggota perubatan yang ikut serta, tidaklah kami dihambat perasaan bimbang. Sampai ke Kem Tigok, kami tinggalkan anak bersama penjaga dan meneruskan perjalanan hingga ke puncak.

“Pengalaman itu bukan setakat baru untuk anak, tetapi turut mendebarkan kami berdua. Selepas itu, kami nekad untuk tidak lagi membawa anak naik ke gunung sehingga satu jangka masa yang dirasakan sesuai. Bukan kerana berdepan masalah, tetapi kami tidak sampai hati melihat anak tidak selesa dengan keadaan dan cuaca,” katanya yang berjaya menawan 12 gunung sepanjang tahun ini.

Adat menyertai aktiviti lasak, sudah pasti banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi. Kata Narwazi, cabaran paling besar apabila dia dan Nona mendaki Gunung Tahan dalam ekspedisi empat hari, tiga malam.

“Kami naik dari Merapoh ke puncak gunung dan turun ke Merapoh semula. Cuaca tidak memberi masalah, tetapi trek yang panjang, disusuli sungai yang besar, Nona akhirnya mengalami hipotermia (keadaan suhu badan yang jauh lebih rendah daripada paras normal hingga boleh menyebabkan pengsan) apabila tiba di Kem Botak.

“Berikutan itu, dia terpaksa diselimutkan dan berehat sehingga keadaan stabil. Begitupun Nona masih berupaya mengumpulkan semangatnya dan berjaya menawan puncak pada keesokan harinya,” katanya.

Jelas Narwazi, dia berbesar hati kerana dapat berkongsi minat dan hobi dengan isteri sendiri. Baginya, apa saja minat dan kemahuan Nona perlu dihormati dan diberi sokongan selagi tidak menjejaskan kebajikan rumah tangga, anak-anak dan keluarga.

PASANGAN sehati sejiwa, Nona dan Narwazi.
PASANGAN sehati sejiwa, Nona dan Narwazi.

“Ada masanya Nona beritahu dia mahu menyertai ekspedisi sendirian. Saya tidak pernah menghalang, asalkan tiada urusan keluarga seperti kenduri, aktiviti sekolah anak dan sebagainya. Ini jadi keutamaan yang saya jelaskan kepada isteri kerana kami tidak mahu orang tersalah anggap. Jika ada kenduri misalnya, mana mungkin saya pergi bersama anak saja. Kalau saudara bertanya, takkan saya hendak jawab Nona mendaki gunung. Pastinya tidak manis didengar.

“Tetapi jika saya berpeluang mengikut Nona, saya akan nikmati masa dengannya. Mungkin banyak cerita yang tidak sempat kami bualkan ketika di rumah, jadi inilah masa paling tepat bercerita, berkongsi pendapat, memahami hobi dan berkenalan dengan rakannya.

“Malah, kalau di rumah, saya tidak pernah tahu bagaimana susahnya isteri memasak dan menyediakan keperluan, di sini saya mempelajari banyak perkara asas termasuk membantu dia dalam semua perkara,” katanya.

Muhasabah diri - Khairul

Bicara kami meleret hingga ke tengah hari. Khairul memang dikenali dengan jenaka spontan. Ada saja cerita serius tapi akhirnya mencetuskan gelak tawa panjang. Begitupun, lelaki ini bukanlah seorang yang suka pada cakap-cakap kosong.

Setiap butir bicaranya tersusun. Jenaka yang dilontar juga terisi dengan makna mendalam. Anak keenam daripada lapan beradik ini begitu serius apabila bercerita berkenaan ilmu hutan.

Bekerja sebagai juruteknik, anak kelahiran Temerloh, Pahang ini aktif mendaki sejak empat tahun lalu. Pertemuan dengan seorang rakan lama di Facebook menarik minat Khairul untuk bertemu dan akhirnya sama-sama aktif mendaki gunung.

KHAIRUL.
KHAIRUL.

“Apabila tahu rakan juga tinggal di Ampang, kami terus merancang naik ke Bukit Tabur. Hampir setiap minggu kami panjat bukit. Ia umpama tempat latihan dan sebulan kemudian, barulah saya menyertai ekspedisi bersama ramai lagi pendaki aktif,” katanya.

Menurut Khairul, hatinya cukup tertawan apabila dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan segar, jauh daripada kesibukan kota, aman, tenteram dan menyenangkan.

“Terlintas di fikiran bahawa inilah terapi terbaik untuk mengurangkan tekanan. Lagipun, saya percaya tidak semua orang mampu sampai ke puncak. Sebab itu saya nekad memperbaiki kelemahan diri.

“Adalah menjadi bonus berharga jika saya dapat tiba ke puncak dan menikmati keindahan alam semula jadi. Setahun saya mengutip pengalaman dan memahirkan diri dengan selok-belok gunung.

“Selepas tempoh itu, saya mula yakin dan sepakat mengadakan kumpulan pendaki sendiri untuk membawa orang naik ke gunung. Biasanya, saya akan naik dulu ke puncak berkenaan untuk mengenal pasti aspek keselamatan, keadaan trek, lokasi dan semua perkara berkaitan. Saya juga akan pastikan semua keperluan asas lengkap sebelum mengiringi pendaki naik,” katanya.

Jelas Khairul, dia sangat mementingkan persediaan awal bagi mengelak sebarang risiko sepanjang perjalanan atau di puncak.

“Setiap gunung mempunyai trek berbeza, keperluan dan suhu berlainan, jarak yang panjang atau pendek. Semua ini harus diambil kira. Sebagai kru bertanggungjawab, saya akan sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

“Keadaan boleh jadi rumit jika ada pendaki yang mengalami kecederaan atau kemalangan sepanjang perjalanan. Sekiranya situasi ini berlaku, sudah pasti ia menjadi cabaran besar buat diri saya.

“Sepanjang aktif mendaki, saya pernah merasai bagaimana sejuk dan lemahnya tubuh akibat hipotermia. Kawan terpaksa menyelimutkan saya dengan khemah dan memasang dapur untuk menaikkan kembali suhu badan. Dari situ saya belajar banyak perkara. Ternyata pengalaman adalah guru terbaik jika seseorang itu mahu berjaya,” katanya.

EKSPEDISI menawan Gunung Yong Belar.
EKSPEDISI menawan Gunung Yong Belar.

Satu perkara menarik yang ada pada Khairul, lelaki ini suka merendah diri. Katanya, sejak aktif mendaki, dia banyak bermuhasabah diri dan mempelajari hakikat dalam kehidupan.

“Kadang-kadang, saya bawa pendaki naik dan langsung tidak menjangkakan dia berjaya. Namun, dengan dorongan, bercerita dan berkongsi semangat, mereka akhirnya tiba ke puncak tanpa sebarang kecederaan. Sedar tidak sedar, perkara begini memberi kepuasan besar kepada diri saya sendiri.

“Di akhirnya nanti, saya sebenarnya berjaya merealisasikan impian orang lain. Ada ramai pendaki yang saya pernah bawa, sudah semakin aktif kini. Tahun depan, jika diberi keizinan Allah SWT, saya mahu meluaskan langkah, menawan gunung di luar negara pula.

“Lokasi terdekat adalah Indonesia. Namun saya masih belum memutuskan gunung mana kerana mahu mengumpul duit terlebih dulu,” katanya yang kini sudah menawan kira-kira 40 gunung seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 3:12 PM