AKSI Zii Jia membuat pukulan balas. -FOTO Asyraf Hamzah
AKSI Zii Jia membuat pukulan balas. -FOTO Asyraf Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berada di landasan tepat untuk meraih kejuaraan sulung di bumi Malaysia dan merangkul gelaran dua kali berturut-turut tahun ini apabila Berjaya mara ke final Masters Malaysia selepas menundukkan Ng Ka Long dari Hong Kong di separuh akhir sebentar tadi.

Zii Jia yang juga pilihan kelima menggamatkan Axiata Arena apabila meraih kemenangan straight set 21-15, 21-17 dan mara ke perlawanan akhir buat kali pertama di laman sendiri.

Menanti Zii Jia di perlawanan akhir ialah pilihan utama yang juga perseorangan nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark, selepas menang mudah 21-6, 21-13 ke atas wakil China, Lu Guang Zu.

Menurut pemain ranking ke-10 dunia itu, tahap kecergasannya berada dalam keadaan terbaik dan tidak ada sebarang kecederaan serius walaupun semalam mengalami kekejangan seluruh badan.

"Saya tidak fikir sangat mengenai final esok. Saya hanya mahu tenangkan diri, berehat dan mengambil makanan. Biarlah saya berada dalam keadaan segar esok.

"Pada set kedua saya tak jangka boleh menang kerana jurulatih suruh saya biarkan sahaja (set kedua) dan fokus kepada set ketiga. Bagaimanapun, ketika itu saya bercakap dengan diri sendiri untuk cuba mengejar (ketika ketinggalan) dan ia menjadi semakin baik.

"Bukan kali pertama mara ke final dua kali berturut-turut tapi ia manis disebabkan beraksi di laman sendiri, tak pernah beraksi final di Malaysia. Saya tidak sabar hendak beraksi di final," katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi gelaran juara dalam perseorangan lelaki ialah melalui Datuk Lee Chong Wei pada 2016 dan legenda badminton negara itu juga menjadi pemain terakhir meraih gelaran di laman sendiri iaitu pada 2018 di Terbuka Malaysia.

Selain Zii Jia turut mara ke perlawanan akhir Masters Malaysia tahun ini ialah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yan akan berdepan pilihan ketiga dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 10:31 PM