Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Mohd Haswandi Ahmad bergambar bersama peserta di Majlis Makan Malam Bersama Tetamu Khas Tuan Yang Terutama, Yang Di-Pertua Negeri Melaka Bersempena Majlis Penutup dan Citrawarna MFLS TIER 3 Tahun 2024 di Pusat Belia Antarabangsa. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Mohd Haswandi Ahmad bergambar bersama peserta di Majlis Makan Malam Bersama Tetamu Khas Tuan Yang Terutama, Yang Di-Pertua Negeri Melaka Bersempena Majlis Penutup dan Citrawarna MFLS TIER 3 Tahun 2024 di Pusat Belia Antarabangsa. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 82,364 peserta mengikuti program Malaysia Future Leaders School (MFLS) sejak diperkenalkan pada 2019 sehingga tahun lalu.

Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Mohd Haswandi Ahmad berkata, seramai 20,901 peserta mengikuti program MFLS Tier 1 di peringkat sekolah.

"Daripada jumlah itu, seramai 6,810 peserta dipilih untuk mengikuti program MFLS Tier 2 yang dilaksanakan di Pusat-Pusat Latihan Kenegaraan milik AKM di seluruh negara.

"Bagi saringan untuk ke program MFLS Tier 3 pula, seramai 684 peserta menghadiri program saringan yang diadakan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup dan Citrawarna MFLS Tier 3 2024 di Yayasan Pusat Belia Antarabangsa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri Datuk Abd Shukor Mahmood.

Mohd Haswandi berkata, seramai 150 peserta terbaik yang dipilih menerusi saringan dijalankan mengikuti program MFLS Tier 3 yang juga fasa terakhir selama 15 hari bermula 12 Mei lalu.

"Sebagai lanjutan program ini, mereka akan disaring sekali lagi untuk menjadi 25 individu terbaik bagi mengikuti program MFLS Go Global yang akan dilaksanakan pada September atau Oktober nanti.

"Bagi memenuhi elemen antarabangsa ini, terdapat dua akiviti diwujudkan dalam MFLS Tier 3 iaitu Asean Cultural Heritage dan MFLS Go Global.

"Platform ini juga digunakan bagi memberi peluang kepada peserta untuk membina rangkaian perhubungan antara belia di luar negara termasuk dari Dubai, Korea Selatan dan Turkiye yang menghadiri MFLS Go Global," katanya.

Beliau berharap peserta MFLS Tier 3 2024 dapat menyahut seruan Malaysia Madani untuk menjadi pemimpin yang terbaik demi masa hadapan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 11:20 PM