Faliq Lajim


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebak menemui sembilan ekor kucing peliharaannya rentung dalam keadaan berpelukan di rumahnya yang terbakar di Sungai Udang, Klang, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.15 pagi, mangsa Mohd Sazry Mohd Taha, 35, mendakwa mengalami kerugian hampir RM20,000 selepas 2,500 koleksi figura pelbagai karakter serta 500 cincin batu turut musnah.

Kebakaran itu juga membabitkan lima rumah lain sehingga menyebabkan 21 penduduk tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menumpang di Dewan Orang Ramai, Sungai Udang, Klang.

Mohd Sazry berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kebakaran itu sebaik saja selesai bertugas dalam operasi menyelamat mangsa ribut di Petaling Jaya.

“Selepas saja pulang ke pejabat APM Klang, saya dimaklumkan oleh rakan setugas bahawa rumah saya sudah hangus terbakar.

“Lebih sebak lagi apabila saya melihat kucing peliharaan hangus terbakar dalam keadaan berpelukan,” katanya.

Menurutnya, empat daripada kucing itu adalah kucing yang diselamatkan dalam operasi menyelamat haiwan berkenaan, sebelum ini.

“Apabila tiada orang nak bela, saya kasihan lalu bawa pulang ke rumah. Selebihnya, kucing yang kakak berikan selepas pihak pengurusan rumahnya tidak membenarkan untuk membela haiwan peliharaan," katanya.

Katanya, dia turut mengalami kerugian dalam kebakaran itu apabila koleksi figura serta cincin batu yang dikumpul sejak 2015, musnah.

“Hanya dua ekor monyet saya yang dapat diselamatkan berikutan berada di luar rumah berikutan jiran sempat mengalihkannya di tempat yang lebih selamat.

“Saya terpaksa reda kerana kalau saya menangis bukannya boleh dapat semua itu kembali. Saya anggap ini adalah ujian yang Tuhan turunkan kepada saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang Samsol Maarif berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.30 pagi sebelum 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, BBP Andalas, BBP Sungai Pinang dan BBP Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi.

“Kebakaran itu membabitkan sebuah rumah kelas B dan lima kelas C. Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 10:45 PM
MOHD Sazry menunjukkan keadaan rumahnya yang hangus hingga menyebabkan sembilan kucing peliharaannya ditemui rentung di Sungai Udang, Klang, hari ini. FOTO Faliq Lajim
MOHD Sazry menunjukkan keadaan rumahnya yang hangus hingga menyebabkan sembilan kucing peliharaannya ditemui rentung di Sungai Udang, Klang, hari ini. FOTO Faliq Lajim