Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kilang bingkai gambar di Kampung Jelai, Jalan Datuk Kumbar, di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi mengakibatkan pemiliknya kerugian dianggarkan lebih RM3 juta.

Kejadian dipercayai berlaku 8.30 malam dan menyebabkan pelbagai peralatan dan mesin serta van dan motosikal di kilang musnah.

Pemiliknya, Gan Hock Tyan, 53, berkata, ketika kejadian terdapat tiga pekerjanya di kilang itu yang sempat menyelamatkan diri.

"Kebakaran ini menyebabkan 70,000 bingkai gambar yang siap diproses hangus terbakar dan saya menganggarkan kerugian dialami lebih RM3 juta.

"Daripada jumlah itu, 6,000 bingkai gambar sepatutnya dihantar ke beberapa maktab perguruan sempena majlis konvokesyen turut musnah," katanya ditemui di lokasi hari ini.

Sementara itu, Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Shukri Zulkapri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran jam 8.51 malam.

Katanya, seramai 20 pegawai bomba dan jentera dari BBP Jalan Raja dan BBP Alor Setar dikejarkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.

"Setibanya di lokasi, kebakaran membabitkan kilang bingkai gambar terbakar 90 peratus dan api dikawal dalam masa 20 minit.

"Kebakaran turut menyebabkan seorang anggota bomba berusia 27 tahun mengalami sesak nafas, manakala seorang orang awam, 17, cedera di tangan dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan," katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu seramai 88 anggota dari 15 Pasukan Bomba Sukarela.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 12:28 AM