Anggota bomba mengawal kebakaran daripada merebak. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Anggota bomba mengawal kebakaran daripada merebak. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


DUA rumah terbakar dipercayai dipanah petir dalam kejadian di Kampung Dalam Rhu, Tumpat petang hari ini.

Dalam kejadian 5.40 petang itu, sebuah Proton Saga dan dua motosikal turut musnah.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Saksi kejadian, Esah Mohd Yusof, 66, berkata, ketika kejadian dia sedang mengajar cucunya mengaji al-Quran.

Katanya, dia dikejutkan bunyi petir sebelum melihat api marak di rumah jirannya, Azizah Aziz, 58,

"Saya menarik cucu menyelamatkan diri. Ketika itu saya tidak terfikir untuk menyelamatkan sebarang dokumen penting.

"Sebaik saja keluar dari rumah, saya lihat api di rumah jiran marak sebelum orang ramai datang dan menghubungi bomba.

"Kebakaran turut mengakibatkan dinding rumah saya hangus namun bomba sempat mengawal api daripada terus merebak," katanya tadi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.45 petang.

Katanya, 14 anggota bomba dari BBP Tumpat dan BBP Pengkalan Kubor dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dapati api sedang marak dan rumah terbabit sudah 80 peratus terbakar.

“Bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal api daripada merebak," katanya.

Menurutnya, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 10:18 PM