ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memadamkan kebakaran di Jalan Tepi Sungai dekat pangkalan Gergaji. FOTO Ihsan Mohd Nashran Nasuha
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memadamkan kebakaran di Jalan Tepi Sungai dekat pangkalan Gergaji. FOTO Ihsan Mohd Nashran Nasuha
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: "Sebaik melihat api yang marak dengan asap tebal, saya terus melaungkan azan dan berdoa ia tidak merebak ke rumah jiran lain," kata Wan Namat Wan Mahmood, 55, seorang daripada mangsa kebakaran membabitkan tiga rumah di Jalan Tepi Sungai dekat pangkalan Gergaji, di sini, hari ini.

Kebakaran pada jam 12 tengah hari itu turut menyebabkan seorang lelaki berusia 50-an dan wanita berusia 20 tahun sesak nafas, manakala sebuah Perodua Kelisa musnah.

Wan Namat berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu dan terdengar bunyi bising di luar rumah sebelum mendapati kepulan asap dan api menghampiri bahagian rumahnya.

"Saya panik seketika sebelum menjerit kepada isteri, Norisan Mamat, 51, dan tiga anak berusia 14 hingga 20 tahun untuk keluar menyelamatkan diri, manakala saya cuba menyelamatkan dokumen penting daripada hangus terbakar.

"Tiada apa yang mampu saya lakukan, hanya melaungkan azan dan meminta pertolongan orang ramai untuk membantu. "Nasib baik pasukan bomba cepat datang, dan beberapa rumah lain dapat diselamatkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

KEADAAN rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Mohd Nashran Nasuha
KEADAAN rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Mohd Nashran Nasuha

Katanya, keadaan ketika itu amat cemas yang mana kebanyakan jiran bertempiaran menyelamatkan diri, manakala isteri hampir pengsan.

Namun, katanya, dia bersyukur kerana kediamannya tidak terjejas teruk dan masih ada barang yang dapat diselamatkan.

"Perasaan sedih tetap ada kerana kebanyakan mangsa adalah ahli keluarga yang tinggal di kejiranan sama.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.15 tengah hari dan mengambil masa 15 minit untuk memadam kebakaran.

Katanya, selain anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, pihaknya turut dibantu jentera dari Balai Pasir Mas.

"Dalam kejadian ini, sebuah rumah terbakar 50 peratus, manakala dua 30 peratus, manakala sebuah kereta Perodua Kelisa hangus.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:55 PM