LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Ramlah Zainal


PELAKON dan pengacara popular Neelofa menghargai nasihat serta teguran daripada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berhubung kontroversi majlis pelancaran koleksi Naelofar Hijab, Be Lofa di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur, malam Isnin lalu.

Menurut pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor, 29, dia juga berasa rendah diri dan menerima segala teguran daripada tokoh agama itu dengan hati terbuka.

"Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih atas nasihat dan pandangan ikhlas daripada tokoh agama itu.

"Saya anggap ia satu teguran dan nasihat yang menenangkan daripada seorang tokoh agama (Dr Zulkifli), dan saya sangat menghargainya.

"Saya dan pasukan Naelofar Hijab sangat mengambil berat setiap nasihat dan cadangan yang diutarakan Dr Zulkifli itu," katanya.

Sebagai insan biasa, Neelofa mengakui dia akan berusaha memperbetulkan setiap kekusutan dan kekeliruan dengan cara terbaik.

"Ia dalam usaha meneruskan kerjaya sebagai ahli perniagaan dan sebagai personaliti dalam bidang hiburan.

"Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sudi memberikan cadangan dalam keadaan saya berdepan dengan situasi tidak diduga sebegini.

"Setiap sokongan, teguran serta cadangan, saya hargai dan hanya ucapan terima kasih mampu dihulurkan," katanya.

Majlis pelancaran koleksi tudung terbaru Naelofar Hijab iaitu BeLofa pada Isnin lalu mendapat kecaman hebat daripada netizen apabila berlangsung di pusat hiburan di Kuala Lumpur.

Neelofa mendapat kecaman teruk kerana ada pihak yang menganggap selebriti itu kurang sensitif apabila melancarkan tudung versi terbaru Naelofar Hijab itu di lokasi yang tidak sesuai.

Berita berkaitan

Surat terbuka Mufti WP buat Neelofa

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 6:59 PM