NABILA Huda. FOTO Aziah Azmee
NABILA Huda. FOTO Aziah Azmee
Rudy Imran Shamsudin

Nabila Huda menafikan teguran diberikan kepada pelakon baru membabitkan lakonan mereka yang dimuat naiknya di laman sosial baru-baru ini kerana dengki atau mahu merendah-rendahkan mereka.

Menurut Nabila, tujuannya mahu mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelakon baru termasuk penggiat seni supaya memastikan mutu kerja terjaga sekali gus dapat mengangkat karya dihasilkan ke tahap lebih tinggi.

Nabila berkata, dia memberikan kenyataan sedemikian kerana berasakan pelakon baru seharusnya memikirkan kemampuan bakat sebelum menerima sebarang tawaran untuk menjayakan watak utama.

“Seharusnya pelakon baru perlu bermula dari bawah. Mereka perlu tahu membawa pelbagai watak sebelum benar-benar yakin mampu menjayakan satu-satu peranan yang ditawarkan kepada mereka.

“Saya katakan ini kerana untuk membawa watak utama bukannya mudah. Ia memerlukan penghayatan yang kuat dan pengalaman,” katanya.

Nabila berkata, dia sedar apabila memuat naik teguran sedemikian, ramai yang menghentamnya kembali mendakwa kononnya dia cemburu kerana pelakon baru yang diberikan watak utama selain lebih cantik dan muda berbanding dirinya.

Mereka juga mengatakan zaman Nabila sudah berlalu.

“Kalau itu yang mereka fikirkan, terpulanglah. Ini kerana kenyataan saya itu kalau dilihat dari sudut positif akan memberikan kebaikan kepada mereka,” katanya.

Menurut Nabila, dalam tempoh 15 tahun bergelar pelakon, semua kejayaan yang diperoleh hari ini adalah berkat usaha kerasnya dan belajar dari bawah.

“Saya tahu zaman sekarang berbeza berbanding saya. Media sosial dan berwajah cantik lebih penting, tetapi biarlah hasil kerja juga seiring dengan populariti yang mereka peroleh,” katanya.

Pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 ini menegaskan sekiranya seseorang pelakon baru itu mengutip pengalaman terlebih dulu, dia bukan hanya mampu memberikan persembahan terbaik dalam setiap lakonan tetapi memahami situasi industri seni itu sendiri.

“Sekurang-kurangnya dengan pengalaman yang ada, mereka tahu cara mengawal kontroversi dan menilai setiap karya yang mahu dilakukan,” katanya.

Menurut Nabila, ada segelintir pelakon baru ini juga tidak fokus. Ada di antara mereka tidak tahu tahap kemampuan tetapi kerana mengejar populariti sanggup melakukan apa saja sehingga menjejaskan nama mereka sendiri sebagai pelakon.

“Ada yang berlakon tidak seberapa, kemudian jadi penyanyi dan pengacara pula. Semua dia mahu buat tetapi tidak ada satu benda pun yang menonjol dan membuatkan orang mengingati mereka. Akhirnya kehadiran mereka hanya seperti angin lalu,” katanya.

Nabila berkata, apabila pelakon baru yang tidak mempunyai pengalaman ini diberikan watak utama, ia juga memberikan masalah kepada pelakon berpengalaman.

“Bayangkan pelakon berpengalaman terpaksa merendahkan persembahan mereka supaya nampak setara dengan pelakon baru. Perkara itu seperti merendahkan persembahan kita dan apabila penonton menyaksikannya ia tidak memberikan impak. Dalam jangka masa panjang ia akan memberikan kesan kepada industri.

“Seharusnya sebagai pelakon kita membawa penonton untuk menilai hasil kerja lakonan yang bagus tetapi sekarang ini perkara seperti itu tidak berlaku. Kalau ini yang berlaku bagaimana kita hendak membawa karya kita pergi jauh? Sedangkan kalau kita tengok negara jiran, karya mereka sudah menjelajah ke serata dunia,” katanya.

Jadi isteri kurang ajar

Bercerita mengenai pembabitannya dalam filem Makrifat Cinta yang bakal ditayangkan pada 1 Februari depan, Nabila berkata, dia menerima tawaran itu kerana berasakan watak dijayakan itu sangat kuat.

“Filem ini dihasilkan secara usaha sama di antara pengarah Kamal G dan Syamsul Yusof. Ketika pembikinan Makrifat Cinta hendak dilaksanakan, mereka mempelawa saya untuk menjayakannya.

“Apabila membaca skripnya, saya tertarik dengan watak yang bagi saya cukup mencabar. Menjadi seorang isteri bernama Zana yang berasal dari kampung, tetapi sangat kasar dengan suami yang dilakonkan Syamsul.

“Zana ini sangat kurang ajar dengan suaminya. Dia tidak mengambil tahu hal anak dan sering bersekongkol dengan abangnya seorang penagih dadah,” katanya.

 ANTARA babak membabitkan Nabila dalam Makrifat Cinta.
ANTARA babak membabitkan Nabila dalam Makrifat Cinta.

Menurut Nabila, dia berpengalaman menjayakan watak sedemikian dalam drama tetapi tidak pernah berpeluang melakukannya dalam filem. Itu antara sebab dia menerima pelawaan kedua-dua pengarah terbabit.

Makrifat Cinta juga adalah gandingan keempat Nabila bersama Syamsul selepas Bohsia, Bohsia 2 dan Munafik.

Nabila berkata, dia tidak pernah mengehadkan dirinya untuk beraksi di samping pengarah muda itu, cuma kebetulan Syamsul sekali lagi turut terbabit dalam Makrifat Cinta.

“Tidak dinafikan apabila saya sekali lagi digandingkan dengan Syamsul, kerja menjadi mudah kerana kami sudah ada keserasian. Hendak dibandingkan dengan filem sebelum ini, rasanya dalam Makrifat Cinta permainan watak antara saya dan Syamsul lebih banyak.

“Kami bersama pengarah dan pelakon lain mudah berbincang membabitkan babak hendak dilakukan. Kalau tidak yakin dengan corak persembahan hendak dibuat, kami akan melakukan latihan terlebih dulu,” katanya.

Nabila juga memuji pekerja teknikal dari India yang turut terbabit dalam pembikinan filem Makrifat Cinta kerana disiplin kerja mereka sangat bagus.

“Mereka sangat cekap dan sepanjang penggambaran saya dapat lihat bagaimana mereka berkerja. Saya bertuah kerana mendapat pengalaman itu dan pelbagai perkara baru dapat saya belajar daripada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 3:55 AM