ANTARA babak dalam Makrifat Cinta.
ANTARA babak dalam Makrifat Cinta.
Amirul Haswendy Ashari


Hal pertama bermain di minda adalah kenapa menggunakan judul Makrifat Cinta? Apa yang cuba disampaikan pengarah dan penulis skrip saat menvisualkan karya ini?

Makrifat bermaksud pengetahuan, kalau dalam ilmu tasawuf bermaksud ilmu mengenali hal kerohanian pada peringkat yang tertinggi atau sempurna (rujukan: Kamus Dewan Bahasa edisi empat).

Dalam hal ini, pengarah cuba ketengahkan hal kerohanian berpaksikan cinta yang menjadi pendorong watak utama yakni Mahathir (lakonan Syamsul) untuk berjaya.

Fokus perjuangannya untuk berjaya dalam hidup terlalu banyak. Antaranya yang ketara mahu jadi kaya selepas sekian lama hidup susah. Kemudian ingin memberi kehidupan lebih baik kepada anaknya, Aisha.

Bagaimana untuk hidup senang? Perkenalkan idea aplikasi pintar dikenali Echolocation yang boleh digunakan masyarakat seluruh dunia.

Malangnya, mungkin kerana terlalu membara dengan idea yang menggunung, pengarah sukar untuk mengawal perkembangan babak dan idea.

ANTARA babak dalam Makrifat Cinta.
ANTARA babak dalam Makrifat Cinta.

Boleh dikatakan pengarah menyumbat semua elemen yang dirasakan mampu memberi nuansa unik kepada penonton.

Dalam pada itu, semangat Bollywood sangat kuat di dalam filem pertama arahan Kamal G ini.

Pembukaan babak pengenalan watak ala filem genre itu diiringi lagu rancak memberi gambaran jelas, penonton bakal dihidangkan kisah watak itu yang ada warna tersendiri.

Sebaik saja penceritaan mula berkembang, setiap watak menunjukkan sisi masing-masing. Namun begitu, ada beberapa sisi lakonan yang gagal memberi impak biarpun barisan pelakon terbaik dalam negara.

Paling ketara, Syamsul sebagai Mahathir, pemain utama dalam Makrifat Cinta. Masih banyak ruang lakonan boleh diperbaiki terutama usaha untuk melontarkan rasa serta emosi.

Berbeza dengan watak Zara lakonan Nabila Huda. Dia mempunyai terjemahan sendiri mengenai sisi antagonis.

Cuma pada babak pertelingkahan Zara dan Mahathir, rasanya lebih baik jika pengarah kenal pasti siapa yang harus main ‘atas’ dan ‘bawah’. Tujuannya, agar tidak kedengaran bingit.

ANTARA babak dalam Makrifat Cinta.
ANTARA babak dalam Makrifat Cinta.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai lakonan Nora dan Puteri Balqis. Biarpun mereka sebahagian daripada jalan cerita, jika diberi lebih ruang, watak mereka pasti meninggalkan impak lebih besar.

Jujurnya, filem ini mempunyai banyak kelemahan lain yang boleh diperbaiki.

Tapi mujurlah adanya barisan pelakon popular, percubaan menyuntik elemen kesan khas, kerja kamera, gred warna filem yang sesuai dan aksi kejar-mengejar, kemalangan kereta dan sebagainya, Makrifat Cinta masih boleh dilayan.

• FILEM: Makrifat Cinta

• ARAHAN: Kamal G

• PELAKON: Syamsul Yusof, Nora Danish, Nabila Huda, Puteri Balqis, Datuk Aznil Nawawi dan Sabrina Ali

• GENRE: Drama

• TAYANGAN: 1 Februari 2018

• ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 2:54 AM