Norhisham tidak dapat menahan kesedihan selepas anaknya maut dalam kemalangan. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Norhisham tidak dapat menahan kesedihan selepas anaknya maut dalam kemalangan. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Iskandar Shah Mohamed dan Ayusliza Azizan

"PADA mulanya, saya menyangka ia mungkin hanya panggilan palsu. Setibanya di hospital, luluh hati ini melihat anak sudah terbujur kaku dan meninggalkan kami buat selama-lamanya," kata Norhisham Jailani, 47.

Anaknya, Norsya’Baniah, 22, bersama sahabatnya, Muhammad Azki Dahlan Jamit, 21, maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar tembok di Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam, yang sudah tidak beroperasi sejak awal bulan ini.

Kejadian pada 6.36 pagi tadi itu turut mengakibatkan pemandunya, Muhammad Azri Dahalan Jamit, 23, yang juga abang kepada Muhammad Azki parah di beberapa anggota badan.

Difahamkan, Norsya’Baniah yang juga penuntut Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam (PSA) itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk menghadiri kuliah pada sebelah pagi.

Menurut Norhisham, anak sulung daripada tiga beradik itu dilihat kali terakhir ketika dihantarnya ke Stesen Komuter di Seremban, Negeri Sembilan, pada 4 petang kelmarin.

"Sejurus menerima berita kematian anak kira-kira jam 12 tengahari tadi, kami sekeluarga bergegas ke hospital bagi mendapatkan kepastian.

"Ternyata Allah lebih menyayanginya dan kami hanya mampu reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Shah Alam petang tadi.

Ibu kepada Norsya’Baniah, Sohaini Md Sari, 45, pula berkata, dia sekeluarga termasuk mangsa sempat menghabiskan masa cuti di Air Terjun Jeramtoi, Jelebu, Sabtu lalu.

"Sewaktu pulang sempena cuti hujung minggu itu, dia kelihatan tidak sihat, demam dan tiada selera makan.

"Tiada perubahan ketara dilihat kecuali dia enggan makan kerana tidak berselera walaupun diajak berkali-kali, " katanya memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Teluk, Port Dickson.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian semua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang.

"Setibanya di lokasi kejadian, kereta dipandu Muhammad Azri dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok di plaza tol berkenaan.

"Rempuhan itu menyebabkan dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam kereta berkenaan dan mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan," katanya.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat manakala pemandu yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan lanjut.

Kata Shafien, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian dan mencari saksi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau tidak lagi beroperasi berikutan pemansuhan kutipan tol yang berkuat kuasa bermula awal Januari ini.

Berita berkaitan:

Tragedi Tol Batu Tiga

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 7:18 PM