Mangsa dikenali sebagai Azamasero Ahmad Yusup, 21, beralamat di Rawang. - Foto Ihsan PDRM
Mangsa dikenali sebagai Azamasero Ahmad Yusup, 21, beralamat di Rawang. - Foto Ihsan PDRM
Siti Nor Amirah Abu Bakar


LELAKI berusia 21 tahun yang ditemui dengan 90 peratus tubuhnya terbakar dalam longkang selepas susur keluar Plaza Tol Bukit Raja menghala ke Klang pagi tadi, meninggal dunia kira-kira jam 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa dikenali sebagai Azamasero Ahmad Yusup, 21, beralamat di Rawang, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) ketika dirawat.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini waris mangsa masih gagal ditemui atau dihubungi.

"Kita sudah ke rumah mangsa di Rawang namun rumah itu kosong, tiada penghuni.

"Polis meminta orang ramai yang mengenali mangsa atau mempunyai maklumat berhubung kejadian ini tampil membantu siasatan," katanya.

Difahamkan, polis masih belum dapat memastikan punca kejadian lelaki itu terbakar.

Dalam kejadian itu mangsa ditemui jam 4 pagi oleh orang awam sebelum menghubungi polis.

Ketika mendapatkan rawatan pihak hospital menyatakan mangsa terbakar hampir 90 peratus.

Shafien berkata, waris mangsa dicari untuk menuntut mayat yang kini berada di HTAR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 8:18 PM