Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian. FOTO Muhammad Sulaiman
Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian. FOTO Muhammad Sulaiman
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Lelaki ditemui mati ditembak dalam kenderaannya jenis Toyota Vellfire selepas Plaza Tol Sungai Rasau, dekat sini, kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, 10 tembakan dilepaskan ke arah mangsa dengan enam daripadanya mengenai badannya.

Beliau berkata, suspek dipercayai menunggang motosikal bersendirian.

"Mangsa dikenali Gooi Tan Hock ahli perniagaan dari Kajang.

"Selepas terkena tembakan mangsa yang memandu seorang diri terbabas dan melanggar penghadang jalan," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, kejadian disedari petugas peronda PLUS sebelum menghubungi polis.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 8:08 PM