ANGGOTA polis memeriksa kenderaan suspek.
ANGGOTA polis memeriksa kenderaan suspek.
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Berani mati. Itu tindakan seorang penjenayah yang bukan saja melanggar dan bergesel dengan beberapa kenderaan awam, malah nekad memasuki laluan motosikal sebelum terbabas berdekatan Plaza Tol Sungai Rasau menghala Klang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, selepas mengejar sejauh 15 kilometer, polis turut menjejaki lelaki berusia 32 tahun berkenaan yang melarikan diri ke kawasan kampung berdekatan.

Ketika cuba ditahan, lelaki itu menghayun besi paip ke arah polis menyebabkan satu das tembakan terpaksa dilepaskan ke paha kanannya sebelum suspek dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu menemui tiga bungkusan lut sinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah, peralatan menghisap dadah, penimbang kecil elektronik serta tiga tiub straw.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dua anggota polis sebelum itu melakukan rondaan di sekitar Flat Sri Era, Seksyen 36, di sini.

“Ketika rondaan, sebuah kereta Proton Wira Aeroback didapati mencurigakan dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Ketika menghampiri untuk pemeriksaan, seorang lelaki di tempat duduk penumpang tiba-tiba melarikan diri manakala suspek (pemandu) terus memecut kereta itu.

“Polis mengejar sehingga ke laluan motosikal Plaza Tol Sungai Rasau dan kereta suspek terbabas serta melanggar tiang lampu di kawasan itu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek kemudian keluar dari kereta dan melarikan diri ke Kampung Sungai Air Kuning, Padang Jawa.

“Apabila ditemui polis, suspek menghayun sebatang besi ke arah seorang anggota dan tembakan terpaksa dilepaskan.

“Akibat tembakan itu, suspek cedera di bahagian depan paha kanan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk menerima rawatan,” katanya.

Shafien berkata, selain barang kes berkaitan dadah dan besi yang digunakan untuk menyerang polis, siasatan pihaknya mendapati penganggur itu memiliki 13 rekod jenayah dan pernah dikenakan tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas.

“Kereta Proton Wira dinaikinya bukan saja menggunakan nombor pendaftaran palsu, malah dilaporkan hilang di Subang dan berkaitan kes yang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya giat mengesan rakan suspek yang melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta kesalahan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 11:10 AM