Dr Zhao dirawat di ICU selama 20 jam sebelum meninggal dunia pagi Sabtu lalu. - Foto Daily Mail.
Dr Zhao dirawat di ICU selama 20 jam sebelum meninggal dunia pagi Sabtu lalu. - Foto Daily Mail.
Agensi

SEORANG doktor wanita meninggal dunia dipercayai akibat keletihan selepas bekerja 18 jam tanpa henti di Hospital Daerah Yuci di Jinzhong, China, Sabtu lalu.

Zhao Bianxiang, 43, bertugas di Unit Penjagaan Respirasi yang pengsan ketika merawat pesakit pada tengah hari 29 Disember lalu, dirawat di unit rawatan rapi namun meninggal dunia pada pagi 30 Disember.

Menurut Daily Mail, difahamkan dia meninggal dunia akibat serangan strok yang berpunca daripada pendarahan di permukaan otak.

Rakan setugasnya memberitahu, Zhao bekerja selama 18 jam tanpa henti berikutan keadaan hospital yang ramai pesakit.

Menurutnya, Zhao mula bekerja pada 6 petang 28 Disember (Khamis) dan selesai merawat pesakit luar pada tengah malam sebelum mula memeriksa pesakit di wad sebelum pengsan pada tengah hari Jumaat.

“Pada musim sejuk, jabatan kanak-kanak dan jagaan respirasi menerima ramai pesakit menyebabkan doktor jarang habis bertugas tepat pada waktunya

“Zhao rajin berkerja namun malangnya keadaan itu menyebabkan dia terlalu letih,” katanya.

Ibu bapa Zhao melawat anak mereka beberapa jam sebelum Zhao meninggal dunia. - Foto Daily Mail
Ibu bapa Zhao melawat anak mereka beberapa jam sebelum Zhao meninggal dunia. - Foto Daily Mail

Gambar yang menyentuh hati disiarkan media China menunjukkan ibu bapa Zhao menemani anaknya di unit rawatan rapi sehingga dia meninggal dunia.

Usaha doktor di hospital itu serta bantuan pakar dari hospital lain gagal menyelamatkan nyawanya.

Perangkaan terbaru menunjukkan China mengatasi Jepun sebagai negara mempunyai jumlah kematian tertinggi akibat kerja berlebihan.

Menurut agensi berita Xinhua, hampir 600,000 pekerja di China mati akibat terlalu penat bekerja setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 11:24 PM