GUO Qingyuan. FOTO Wxn.qq.com
GUO Qingyuan. FOTO Wxn.qq.com
Agensi

Beijing: Kurang sebulan selepas seorang pakar perubatan wanita meninggal dunia kerana bekerja tanpa henti, seorang lagi doktor muda di wad kecemasan hospital di China maut susulan syif malam yang melihatnya merawat 40 pesakit, Rabu lalu.

Guo Qingyuan, 43, pengsan pada akhir syif yang sibuk di Hospital Universiti Qinghai, Rabu lalu apabila tiba-tiba sakit dada selain sukar bernafas, lapor Xining Evening News, semalam.

Ketika melalui prosedur diperlukan untuk menerima rawatan sebagai pesakit, Guo mengalami sawan dan pengsan. Doktor melakukan pembedahan selama empat jam, namun gagal menyelamatkannya.

Isteri Guo juga doktor di hospital sama, dan pasangan itu mempunyai dua anak berusia dua bulan serta 10 tahun.

Sebelum kematiannya, Guo dilaporkan merawat 40 pesakit sebelum bekerja lebih masa tiga jam untuk memastikan tugasan diserahkan kepada rakannya dalam keadaan lengkap.

Kejadian itu mencetuskan simpati dan kesedihan pengguna Internet yang rata-rata mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa selain menyatakan sokongan bagi doktor yang perlu bekerja untuk tempoh lama.

Seorang pengguna Internet mengulas di portal berita QQ.com: “Kasihan, ini kehilangan besar untuk keluarganya. Doktor di wad kecemasan memang berdepan tekanan tinggi dan terpaksa bekerja sepanjang masa.”

Seorang wanita berkata, dia menyedari betapa beratnya tugas doktor ketika bersalin, baru-baru ini.

“Ketika itu saya dapat lihat betapa sibuknya mereka. Kebanyakan masa tidak dapat berehat atau makan secukupnya kerana sentiasa bersedia merawat pesakit.

“Saya tabik semua pekerja perubatan,” katanya.

Pada 29 Disember lalu, seorang pakar respiratori wanita berusia 43 tahun di wilayah Shanzi meninggal dunia selepas bekerja 18 jam tanpa henti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 3:40 AM