LIMA termasuk seorang bayi lelaki maut dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan PERODUA Viva di Kilometer 178 Persimpangan Melayu Raya, Segamat sebentar tadi. FOTO Ihsan Bomba
LIMA termasuk seorang bayi lelaki maut dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan PERODUA Viva di Kilometer 178 Persimpangan Melayu Raya, Segamat sebentar tadi. FOTO Ihsan Bomba
Ibrahim Isa dan Ahmad Ismail


LIMA sekeluarga maut apabila Perodua Viva dinaiki mereka merempuh bas ekspres di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru - Seremban berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat, 6 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, ketika kejadian, Perodua Viva dinaiki lima individu dipercayai sekeluarga membabitkan lelaki dan wanita dewasa, masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan serta bayi lelaki, dalam perjalanan menuju ke Johor Bahru dari arah Segamat sebelum hilang kawalan lalu berpusing di tempat kejadian.

"Kereta berkenaan kemudiannya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung bas ekspres.

"Akibat pertembungan kuat itu, tiga penumpang iaitu lelaki dan wanita dewasa yang duduk di bahagian depan dan seorang kanak-kanak di bahagian belakang meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang kanak-kanak dan bayi lelaki yang duduk di bahagian belakang, parah dan dibawa ke Hospital Segamat, malangnya disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Mohd Aizad Mamat berkata, menerima panggilan kecemasan pada 6.11 petang dan satu jentera membabitkan lapan anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, apabila tiba, pihaknya mendapati tiga mangsa sudah meninggal dunia dengan seorang lelaki dan seorang wanita dewasa tersepit akibat pertembungan itu.

"Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 9:29 PM