Elyana ketika di GV4. FOTO Arkib NSTP.
Elyana ketika di GV4. FOTO Arkib NSTP.
Sudirman Mohd Tahir


"BANYAK tempat saya pergi berubat dan sepanjang hampir tujuh tahun ini habis duit simpanan digunakan,” kata penyanyi Elyana, 30, mengenai penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya.

Kata Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, duit simpanan itu dikumpul sejak mula menyanyi pada usia 13 tahun.

"Ibu memang galakkan saya menyimpan. Alhamdulillah, duit simpanan yang ada digunakan untuk membiayai rawatan dan saya boleh 'survive'.

“Penyakit seseorang bukan soal main-main apatah lagi jika menghidap barah. Lagi banyak kos digunakan untuk rawatan penyakit ini.

"Saya bukan saja bergantung dengan ubat doktor, juga mencari alternatif seperti perubatan tradisional dan Islamik.

“Saya juga pergi ke Indonesia dan Singapura. Merata tempat saya pergi berubat kerana tidak pernah putus asa," katanya kepada Harian Metro.

Selepas mengumumkan penyakit dihidapi pada program Gegar Vaganza 4 (GV4) 26 November lalu, Elyana gembira setiap hari dia dihujani doa.

Penyanyi dikenali dengan lagu Tak Tercapai Akal itu menafikan tindakannya itu untuk meraih simpati seperti didakwa segelintir pihak.

"Saya tak menyesal buat pengumuman kerana mahu beritahu semua yang menyayangi saya mengenai apa yang saya alami selama ini.

"Hikmah daripada pengumuman itu, lebih ramai mendoakan saya. Ia membuatkan saya lebih terharu. Bukan saja di kalangan peminat, rakan artis juga tidak henti-henti memberi kata semangat dan sokongan," katanya.

Elyana juga terharu apabila mengetahui solat hajat dianjurkan kelab peminat, Elyana Official Fan Club atau Elo FC, Khamis ini.

Katanya, dia tidak tahu perkara itu sehinggalah melihat poster di laman sosial.

“Mungkin mereka berurusan dengan pengurus saya. Untuk mengetahui kebenarannya, saya bertanya terus kepada pengendali akaun itu.

"Saya sangat bersyukur kerana ramai yang sayang. Malah saya berbesar hati dengan usaha yang dilakukan kelab peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 4:42 PM