ELYANA
ELYANA
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Keinginan mahu terus bermain lagi dengan anak-anak mendorong penyanyi dan pelakon, Elyana Emrizal, 34, nekad menjalani rawatan radioterapi mulai hari ini.

Elyana berkata, dia memohon doakan saya supaya terus kuat untuk menjalani rawatan berkenaan.

"Saya tahu harus kuatkan diri untuk melakukan rawatan radioterapi ini demi anak-anak saya. Mereka berdua masih kecil dan saya perlu bersama mereka lagi," katanya.

Menurut Elyana, dia akan melakukan rawatan itu sebanyak 10 sesi dan harus menghadapinya dengan cekal berikutan berat badannya kini hanya sekitar 35 kilogram.

"Walau apapun cabarannya, saya akan cuba harungi kerana masih lagi nak bermain-main dengan anak-anak. Saya tak mahu terbaring saja kerana rasa lemah dan cepat penat.

"Saya tak mahu melakukan kimoterapi kerana rawatan itu akan membuatkan saya bertambah sakit dan jadi lemah. Jadi, saya ambil keputusan untuk melakukan rawatan radioterapi saja.

"Harapan saya mudah-mudahan selepas melakukan rawatan ini saya masih ada masa lagi untuk bermain dan bersama-sama dengan anak-anak," katanya yang menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 10 tahun lalu.

Menurut Elyana, dia juga sudah menerima dua beg darah yang dimasukkan ke dalam badannya dan memakan masa selama enam jam bermula malam tadi.

Elyana mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan anak perempuan Cinta Sumayyah, 10, serta memiliki anak angkat, Cahaya Ramadhani, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 4:17 PM