Bomba sahkan lima mangsa rentung dan seorang yang melecur dalam kejadian kebakaran di Kampung Baru Sungai Gelugor warga Indonesia. Foto Omar Osman
Bomba sahkan lima mangsa rentung dan seorang yang melecur dalam kejadian kebakaran di Kampung Baru Sungai Gelugor warga Indonesia. Foto Omar Osman
Muhaamad Hafis Nawawi dan Omar Osman


LIMA mangsa rentung dalam kebakaran di Kampung Baru Sungai Gelugor di Taman Petani Jaya, Sungai Petani serta seorang lagi yang melecur disahkan sebagai warga Indonesia.

Bagaimanapun, status semua mangsa serta identiti sebenar mereka masih belum disahkan.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda, berkata, sehingga kini lima yang maut termasuk pasangan suami isteri dikenali sebagai Mad kholel Tubat, 40 dan Ume, 35.

Menurutnya, tiga lagi mangsa yang rentung adalah remaja lelaki berusia 17 tahun dikenali Misbahul Anwar, warga emas, Tobiyyah, 67 dan Habi Tokrimin, 40.

"Mayat Mad Kholel dan Ume dikatakan ditemui rentung dalam keadaan bertindih di bilik belakang dengan mayat Misbahul Anwar pula kira-kira satu meter dari mereka.

"Dua lagi mayat iaitu Habi ditemui di bilik depan, manakala Tobiyyah ditemui rentung di pintu hadapan rumah," katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Abdul Razak berkata, mangsa yang parah akibat melecur 70 peratus anggota badan ditemui di hadapan rumah dikenali sebagai Samsul, 40, juga warga Indonesia.

"Sehingga kini punca kebakaran memusnahkan empat rumah sederet itu masih disiasat, namun tidak menolak kemungkinan mangsa terperangkap dan gagal menyelamatkan diri," katanya.

Berita berkaitan:

Lima rentung di Sungai Petani

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 11:40 AM