IDAYU sertai AF Megastar untuk kongsi kemampuan sebagai penyanyi.
IDAYU sertai AF Megastar untuk kongsi kemampuan sebagai penyanyi.
HM Digital

Boleh dikatakan setiap minggu Idayu mempamerkan aksi mengujakan dalam program realiti AF Megastar.

Jadi, tidak hairanlah dia sentiasa menduduki carta teratas setiap minggu.

Ternyata, kekuatan vokalnya membuatkan ramai kagum dengan bakat luar biasa wanita kelahiran Kelantan itu.

Menurut Idayu, selain pengalaman yang ditimba ketika menuntut dalam jurusan muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), suaminya, Shahrul Fadzil juga antara tulang belakang yang sentiasa memantau teknik nyanyiannya.

“Barangkali ilmu yang ditimba ketika zaman belajar membuatkan saya mahir mengenai selok-belok nyanyian.

“Selain itu, suami saya juga antara individu yang akan memastikan dan membantu saya dari segi teknik nyanyian dan cara penyampaikan sesebuah lagu setiap minggu.

“Suami juga terbabit dengan muzik, jadi dia mempunyai sedikit kepakaran itu dan sama-sama menyumbang idea baru,” katanya.

Sentiasa tampil dengan persembahan yang memukau, Idayu menafikan dirinya dalam misi membalas dendam dengan menyertai pertandingan itu.

Menurut Idayu, dia hanya mahu menggunakan peluang beraksi demi mengejar impian yang sudah lama tidak diasah.

“Saya sentiasa tanam dalam diri untuk terus fokus dan menyampaikan lagu dengan cara terbaik.

“Alhamdulillah, rata-rata maklum balas yang diterima adalah positif. Saya harap kehadiran saya ini akan kembali mewarnai industri seni tanah air selain mahu berkongsi kemampuan dengan semua,”katanya.

Idayu juga mengakui bintang lain yang menyertai program terbabit mempunyai kualiti dan kekuatan masing-masing.

“Saya cuak setiap kali melihat persembahan semua bintang. Mereka begitu luar biasa ketika menbuat persembahan.

“Sampaikan setiap minggu saya akan mencari idea baru supaya lagu yang bakal dinyanyikan menepati selera penonton,”katanya. -Najiy Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 3:28 AM