SITI NORDIANA ALIAS
SITI NORDIANA ALIAS

JATUH bangun dalam karier seni yang pernah dilalui penyanyi, pelakon dan pengacara Siti Nordiana Alias atau Nana, 34, membuatkan dia cekal.

Katanya, tidak mudah untuk mengecapi kejayaan tanpa usaha gigih dan itu juga yang cuba disuntik kepada dua protege bimbingannya di Mentor 7 iaitu Zaaim serta Taufiq.

Sayangnya, pada konsert minggu ketiga Mentor 7 yang disiarkan TV3 pada Ahad lalu menjadi langkah akhir Taufiq Rodzi, 24.

Melihat anak didiknya menjadi peserta pertama tersingkir pada malam berkenaan cukup pedih buat Nana.

Menurut penyanyi lagu Hatiku Milikmu itu, sebagai mentor dia rasa terkilan dengan situasi yang menimpa Taufiq.

“Saya terkejut apabila Taufiq tersingkir kerana perjalanannya dalam karier nyanyian baru bermula.

“Bagi saya, Taufiq perlu dikekalkan paling tidak sehingga minggu keempat.

“Sebagai mentornya, saya baru dapat menilai apa kelemahan yang perlu diperbaiki Taufiq untuk persembahan seterusnya.

“Namun, nampaknya rezeki Taufiq hanya setakat ini dan saya perlu akur dengan keputusan dibuat juri kerana yakin mereka lebih arif,” katanya.

Nana berkata meskipun tersingkir awal, dia sentiasa bersedia membantu anak muda dari Kedah itu mengetengahkan bakat nyanyiannya.

“Saya menasihati Taufiq agar tidak terlalu kecewa dengan penyingkiran ini kerana perjalanannya masih jauh.

“Malah, saya ingatkan juga tersingkir awal tidak semestinya menghalang Taufiq menjadi penyanyi berjaya pada masa akan datang.

“Dalam industri hiburan tanah air masa kini, ada saja ramai penyanyi yang pernah kecundang pada awal kemunculan tetapi berjaya popular dan sangat dikenali sekarang,” katanya.

Jelas Nana, biarpun tidak menjanjikan bulan dan bintang buat protege bimbingannya, dia sentiasa bersedia memberi nasihat dan berkongsi pandangan jika diperlukan.

SITI Nordiana bersama Taufiq selepas persembahan pada minggu ketiga Konsert Mentor 7. -Foto  HAFIZ SOHAIMI
SITI Nordiana bersama Taufiq selepas persembahan pada minggu ketiga Konsert Mentor 7. -Foto HAFIZ SOHAIMI

Penyingkiran Awal

Mentor 7 Pecah Tradisi

Selepas enam musim berlalu, persaingan Mentor 7 kali ini nyata membawa lembaran baru buat mentor dan protege yang

bertanding.

Ini kerana tanpa diduga protege Nana iaitu Taufiq menjadi peserta pertama tersingkir dan situasi itu dilihat sebagai memecah tradisi.

Kelemahan vokal menjadi punca Taufiq, 24, gagal menampilkan persembahan yang baik ketika mendendangkan lagu Fantasia Musim Cinta nyanyian asal Iwan.

Sehubungan itu, tanggungjawab penjurian untuk persembahan peserta Mentor 7 digalas dua figura seni terkenal iaitu Datuk Wah Idris dan Mas Idayu.

Mengulas penyingkiran itu, Wah berkata ia bukan perkara mudah tetapi beliau perlu bersikap tegas dan telus.

“Memang adat pertandingan ada menang dan kalah. Begitu juga, ada peserta yang akan terus mara bersaing dan terkandas.

“Dalam soal ini, saya faham keputusan penyingkiran awal yang berlaku kepada Taufiq mungkin kurang disenangi kerana persaingan baru bermula.

“Namun, melihat penilaian yang dibuat saya perlu akui betapa jarak markah Taufiq jauh ketinggalan berbanding enam lagi peserta,” katanya.

Menganggap keputusan dibuat itu tepat berdasarkan kata sepakat dicapai dengan Mas Idayu, komposer berkaliber itu berkata kini mentor dan protege perlu bekerja keras.

“Perubahan yang dilakukan dengan adanya penyingkiran pada konsert awal adalah wajar supaya protege lain masih kekal mendapat iktibar.

“Saya mahu mentor dan anak didik mereka lebih kreatif serta gigih berusaha untuk menampilkan persembahan yang mantap setiap minggu.

(DARI KIRI) Mentor Aizat Amdan, Siti Nordiana Alias, Hafiz Suip dan Datuk Syafinaz Selamat pada minggu ketiga Konsert Mentor 7 di Sri Pentas 2, Shah Alam Sentral. -Foto HAFIZ SOHAIMI
(DARI KIRI) Mentor Aizat Amdan, Siti Nordiana Alias, Hafiz Suip dan Datuk Syafinaz Selamat pada minggu ketiga Konsert Mentor 7 di Sri Pentas 2, Shah Alam Sentral. -Foto HAFIZ SOHAIMI

“Apatah lagi, dengan konsep penjurian yang tegas ini semestinya menyuntik semangat juang yang tinggi untuk peserta melakukan terbaik dalam persembahan mereka.

“Saya yakin penonton di studio mahupun di rumah menginginkan persembahan menarik dan kreatif daripada semua peserta yang bertanding,” katanya.

Menurut Wah, sebagai juri beliau juga melihat semua peserta yang menjadi mentor untuk bertanding di pentas Mentor 7 itu adalah yang terbaik.

“Jadi, seharusnya peluang yang diperoleh itu digunakan mereka (protege) sebaik mungkin kerana masing-masing mesti bersaing.

“Saya mahu setiap protege terbabit berasakan konsert mingguan adalah yang terakhir dan mereka perlu menampilkan persembahan bertenaga.

“Begitu juga dengan mentor , mereka seharusnya mempersiapkan protege sebaik mungkin untuk diketengahkan,” katanya.

Apa yang pasti, Wah menjelaskan dia sama sekali tidak berniat mencetuskan sensasi di Mentor 7 berhubung keputusan penyingkiran itu.

Empat mentor berpengalaman yang berentap di pentas Mentor 7 ialah Datuk Syafinaz, Aizat Amdan, Nana dan Hafiz Suip.

Tujuh lagi protege yang kekal berentap untuk konsert minggu seterusnya ialah Lazarul, Ranisha, Pasya, Megat, Azmirul, Zaaim dan Amal.

Pada konsert ketiga itu, Lazarul tampil menyanyikan lagu Izinkanku Pergi, Ranish (Teruskanlah), Pasya (Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta), Megat (Ku Mohon), Azmirul (Syair Si Pari Pari), Zaaim (Dirantai Digelangi Rindu) dan Amal (Bukan Cinta Biasa).

Malah, persembahan terbaik untuk konsert

minggu itu menjadi milik Pasya yang juga antara protege Aizat.

Persembahan peserta diadili 50 peratus markah daripada juri tetap,

30 peratus undian dalam talian di laman web www.xtra.com.my/mentor7

dan 20 peratus lagi melalui

10 orang juri awam dipilih.

-Norhayati Nordin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 5:31 AM