Juri tetap Mentor 7, Datuk Wah Idris (kiri) dan Mas Idayu pada minggu ketiga Konsert Mentor 7 di Sri Pentas 2, Shah Alam Sentral. FOTO Hafiz Sohaimi
Juri tetap Mentor 7, Datuk Wah Idris (kiri) dan Mas Idayu pada minggu ketiga Konsert Mentor 7 di Sri Pentas 2, Shah Alam Sentral. FOTO Hafiz Sohaimi
Norhayati Nordin


KOMPOSER berkaliber yang juga juri tetap Mentor 7, Datuk Wah Idris menyifatkan keputusannya menyingkirkan peserta, Taufiq Rodzi, bukan tindakan yang kejam.

Taufiq, 24, adalah protege kepada penyanyi Siti Nordiana yang menjadi peserta pertama tersingkir pada konsert minggu ketiga Mentor 7 yang disiarkan TV3, malam Ahad lalu.

Wah berkata, beliau bersama rakan jurinya iaitu penyanyi Mas Idayu tidak berniat langsung untuk bertindak 'kejam' kepada Taufiq kerana penyingkiran berkenaan.

"Saya dan Mas Idayu, kami yang menggalas tanggungjawab sebagai juri Mentor 7 ada penilaian tersendiri pada setiap persembahan dibuat oleh peserta.

"Keputusan penyingkiran dibuat terhadap Taufiq adalah telus berdasarkan kepada penilaian persembahannya yang kurang menyerlah berbanding protege lain.

"Terlalu banyak yang kurang dan lemah. Malah, jika dikekalkan untuk satu minggu lagi, saya yakin tidak banyak yang akan berubah.

"Apa yang saya mahu, keputusan penyingkiran yang sudah berlaku itu diambil positif oleh setiap mentor dan protege untuk mereka lebih bekerja keras dan bertindak kreatif," katanya.

Ujar Wah lagi, seiring dengan penerbitan Mentor yang kini sudah musim ketujuh, maka penekanan pada aspek penjurian yang tegas perlu dilaksanakan.

"Ia bertujuan supaya setiap mentor dan protege yang bertanding akan lebih bekerjasama di antara satu sama lain untuk memberi persembahan terbaik dan mantap setiap minggu.

"Selaku juri, pada saya kesemua protege yang sudah berjaya menjadi pilihan mentor itu adalah terbaik dan mereka harus membuktikannya kepada kami (juri) dan penonton.

"Berusahalah memberikan persembahan terbaik umpama ia adalah konsert pertama dan terakhir anda di hadapan juri serta penonton di studio dan di rumah.

"Saya yakin penonton yang menyaksikan Mentor 7 pun ingin menonton persembahan yang mantap daripada peserta untuk sentiasa diingati mereka," katanya.

Menurut Wah, dengan pendekatan tegas juri dalam membuat penilaian persembahan itu akan menyedarkan mentor dan protege untuk 'bangun dari tidur' seterusnya tidak leka dan ambil mudah terhadap tanggungjawab masing-masing.

Terdahulu, Taufiq tampil menyanyikan lagu Fantasia Musim Cinta nyanyian asal penyanyi Iwan dan persembahannya ternyata gagal.

Memandangkan Taufiq tersingkir lebih awal, Siti Nordiana atau Nana selaku mentor kepada pemuda itu mengakui berasa terkilan dengan keputusan juri.

Bagi Nana, Taufiq harus diberikan peluang sekurang-kurangnya satu minggu lagi bagi mereka berbincang dan bekerjasama memperbaiki kelemahan yang dikesan.

Pada konsert minggu ketiga itu, Taufiq hanya berjaya mengumpul 38 peratus markah keseluruhan merangkumi 50 peratus daripada juri tetap, 30 peratus (undian atas talian di laman web) dan 20 peratus (juri awam di studio).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 10:39 AM