ADDILA menunjukkan ais krim ‘bom-bom’ yang akhir berjaya dimiliki di kem pelarian Dadaab. FOTO Fariz Iswadi Ismail
ADDILA menunjukkan ais krim ‘bom-bom’ yang akhir berjaya dimiliki di kem pelarian Dadaab. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Mohd Firdaus Ibrahim


“Uncle... boleh beri hadiah.”

Itulah rengekan kanak-kanak perempuan Addila Saad, 11, kepada wartawan selepas menziarah khemahnya di Kem Dadaab di Garissa, Kenya.

Rengekan itu mulanya wartawan abaikan kerana menjadi kebiasaan dikerumuni kanak-kanak yang mahu meminta wang ataupun sumbangan jika masuk ke mana-mana kem.

Namun, Adilla tidak putus semangat sebaliknya mengekori hampir ke 20 khemah pelarian lain yang wartawan dan jurugambar Fariz Iswadi Ismail lawati.

Kesungguhannya meminta 'hadiah' mula membuka hati wartawan yang bertanya apakah dikehendakinya selepas selesai melakukan kerja pada hari pertama di kem berkenaan, kelmarin.

Jujurnya, wartawan juga terkenang dua 'puteri' yang ditinggalkan jauh di kampung halaman pada hari raya ini iaitu Nur Jannah dan Ayra Tasnim.

Pertanyaan itu segera menyebabkan kegembiraan jelas terpancar di wajahnya sebelum dia berkata: "Bom-bom... ais krim."

Adilla segera menarik tangan wartawan dan membawanya ke kedai dalam kem pelarian itu yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Wartawan tertanya apakah sebenarnya 'aiskrim bom-bom' itu namun hanya mendiamkan diri tanpa bertanya apa-apa kepada Addila.

Untuk makluman, aiskrim bom-bom itu adalah air berperisa tertentu yang dimasukkan ke dalam plastik sebelum dibekukan. Ia (aiskrim) dihasilkan sendiri pelarian di kem berkenaan dan dijual setiap satu KSH5 bersamaan 20 sen.

Wartawan kemudian membelikan ais krim berkenaan dan Adilla terus mengucapkan terima kasih.

Wartawan kemudian diarahkan meninggalkan kem berkenaan disebabkan perlu kembali ke bandar Garissa, terletak hampir 90 kilometer dari kem Dadaab yang mengambil masa perjalanan lebih 3 jam.

Kisah aiskrim bom-bom itu wartawan juga lupakan sebaik meninggalkan kem berkenaan.

Namun kira-kira 1 pagi tadi waktu tempatan (6 pagi waktu Malaysia) kisah aiskrim itu muncul kembali apabila Fariz bertanyakan pasal gambar kanak-kanak itu.

Selepas diamati koleksi gambar berkenaan aiskrim sempat dirakam Fariz itu membuatkan wartawan menghembus nafas lega kerana menunaikan hajat Addila.

Berdasarkan gambar yang dirakamkan Fariz sebaik tiba di kem berkenaan, Addila dilihat menunggu dengan sabar aiskrim bom-bom yang dimakan kawannya.

Addila sesekali dilihat meminta aiskrim itu daripada rakan-rakannya dan menunggu dengan penuh harapan.

Akhirnya, hajat Addilla bagi dapatkan aiskrim termakbul. Jujur, jika tidak membeli aiskrim dimintanya, wartawan akan ralat sebaik melihat gambar dirakam Fariz.

Apa yang wartawan ralat kini adalah tidak bergambar dengan Addilla sedangkan ramai kanak-kanak pelarian lain yang kami rakamkan gambar bersama.

Inilah kisah aiskrim paling 'rare' yang wartawan pernah alami. Moga Addila dan seluruh pelarian muslim di Dadaab akan dilindungi Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 5:47 PM