PELARIAN Somalia berjalan di tanah berdebu di kem pelarian Dadaab. FOTO Fariz Iswadi Ismail
PELARIAN Somalia berjalan di tanah berdebu di kem pelarian Dadaab. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Mohd Firdaus Ibrahim


KADAR pengangguran yang tinggi, ketiadaan bekalan air dan kewangan bagi menyelenggara masjid ataupun madrasah menghantui semua muslim di daerah ini.

Perkara itu didedahkan, Pengerusi Majlis Penasihat Islam Kenya Cawangan Garissa, Abdullahi Salat ketika ditemui di Garissa, Kenya.

Menurutnya, bandar yang hampir keseluruhan penduduknya beragama Islam itu sememangnya miskin dan bermasalah.

"Bukan saja pelarian tetapi kami (muslim) di sini juga miskin.

"Tiada bekalan air bersih untuk diminum. Tiada kewangan yang kukuh untuk menyelenggara ratusan masjid di bandar ini," katanya ketika dikunjungi rombongan EZ Qurban Sdn Bhd yang dalam Program Kembara Korban Edisi ke-11 ke negara berkenaan.

Untuk rekod, 35 peratus daripada 43 juta rakyat Kenya adalah muslim.

Menurutnya, terdapat lebih 600 masjid dan madrasah di seluruh bandar berkenaan tetapi tiada yang diselenggara dengan baik.

"Keadaannya (masjid) kurang selesa seperti negara Islam lain tetapi, itulah yang kami mampu," katanya.

Katanya, kebanyakan tenaga pengajar di madrasah di negeri itu hanyalah sukarela.

"Mereka (tenaga pengajar) tiada gaji dan mengajar kanak-kanak kerana Allah SWT," katanya menjelaskan, disebabkan itu tenaga pengajar madrasah kadang-kala terpaksa menutup kelas sementara dia berkerja bagi mendapatkan wang perbelanjaan diri dan keluarganya.

Katanya, jika rakyat Malaysia boleh datang dan menghulurkan bantuan ia amatlah dialukan.

AZHAR (tengah) bergambar bersama sebahagian pelarian kem Dadaab ketika menyerahkan lembu sempena Aidiladha. FOTO Fariz Iswadi Ismail
AZHAR (tengah) bergambar bersama sebahagian pelarian kem Dadaab ketika menyerahkan lembu sempena Aidiladha. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Sementara itu, Pengarah Urusan EZ Group Sdn Bhd Ustaz Azhar Ab Shukur berkata, segala maklumat yang dikongsikan Abdullahi akan dipanjangkan kepada pihak berkenaan.

"Abdullahi dakwa kami antara kumpulan terawal dari Malaysia yang datang dengan bantuan kepada pelarian di kem Dadaab.

"Insya-Allah, selepas ini akan lebih banyak bantuan dari rakyat Malaysia termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata, amanah rakyat Malaysia kepada pihaknya sudah disempurnakan di Kenya.

"150 ekor lembu disembelih dan diagihkan kepada pelarian dan penduduk miskin yang sangat memerlukan," katanya.

Katanya, biarpun program korban di Kenya sudah berakhir, rakyat Malaysia masih boleh menghulurkan bantuan dengan membabitkan diri dalam program akikah.

"Peserta yang berminat ataupun memerlukan maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-61861911 serta melayari laman web www.ezqurban.org," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 4:47 PM