ABDUL Kareem berehat di dalam pondok yang diperbuat daripada ranting kayu, daun dan kain di Kem Dadaab.
ABDUL Kareem berehat di dalam pondok yang diperbuat daripada ranting kayu, daun dan kain di Kem Dadaab.
Mohd Firdaus Ibrahim


Garissa (Kenya): Biarpun dalam kedaifan dan serba kekurangan, pelarian yang mendiami kem Dadaab tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam hal agama.

Mereka akan menunaikan solat sebaik masuk waktu.

Malah, wartawan juga sempat melihat dan mendengar seorang lelaki yang berehat di dalam khemahnya sambil mengalunkan ayat suci al-Quran.

Untuk rekod, khemah di kem pelarian itu dihasilkan daripada kayu hutan sebelum disalut dengan tanah manakala lapisan luar pula dibalut dengan kain.

Wartawan menghampiri khemah berkenaan sebelum bertanya apa yang sedang dilakukannya.

Abdul Kareem, 38, berkata, dia mengisi masa lapangnya dengan membaca ayat suci al-Quran.

“Apa yang tuan cari?” tanya Abdul Kareem kepada wartawan.

Belum pun sempat menjawab, Abdul Kareem berkata, dia tidak mempunyai naskhah al-Quran sebaliknya hanya membaca beberapa juzuk ayat suci yang dihafalnya.

Menurutnya, dia menghafal lima juzuk al-Quran dan akan mengulangi membacanya apabila sedih dan rindukan kampung halaman.

“Rindu betul dengan kampung tetapi apakan daya, perang yang meletus disebabkan perebutan kuasa menghancurkan negara yang saya cintai.

“Ini semua disebabkan mereka yang gilakan kuasa dan pangkat sehingga sanggup berbunuhan sesama sendiri,” katanya yang berasal dari Somalia.

Perang saudara di Somalia tercetus pada tahun 1991 menyebabkan ratusan ribu rakyat negara berkenaan melarikan diri ke Kenya bagi mendapatkan perlindungan.

Katanya, dia tidak pasti bila keadaan di negaranya kembali aman.

“Jika ia berlaku, kami sekeluarga dan semua (pelarian) pasti pulang ke sana,” katanya.

Abdul Kareem berkata, menjadi pelarian bukanlah satu pilihan kerana semua hak dinafikan.

“Saya doakan supaya negara kamu juga tidak menerima nasib sama seperti kami,” katanya.

Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-61861911 serta melayari laman web www.ezqurban.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 5:44 AM