PENGHUNI di kem pelarian   menyerbu konvoi sebaik mengetahui ada membawa pek makanan untuk diagihkan.
PENGHUNI di kem pelarian menyerbu konvoi sebaik mengetahui ada membawa pek makanan untuk diagihkan.
Wartawan Mohd Azam Shah Yaacob dan jurugambar Nor Farizan Abdull Rahman di Qabasin dan Syria

QABASIN: Pelarian di Kem Zamkaa hanya menjamah makanan basi dan roti berkulat.

Kem berkenaan menempatkan 1,800 pelarian Syria daripada 300 keluarga berlindung di kawasan terbabit.

Namun, demi kelangsungan hidup mereka makan apa saja yang ada termasuk mencatu sisa makanan basi dan roti berkulat kerana tidak menerima bekalan makanan.

Wartawan difahamkan keadaan seperti itu bukan hanya berlaku di Kem Zamkaa sahaja, sebaliknya berlaku di kem pelarian lain di seluruh negara itu.

Disebabkan itu, ada antara mereka rela andai mati lebih awal dan tidak hidup menderita kelaparan.

Pengerusi Syria Care Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai perkara itu kemudiannya membuka dua dapur bagi membekalkan makanan setiap hari kepada pelarian di Kem Zamkaa sejak sebulan lalu.

Malah, menurutnya, menerusi misi bantuan musim sejuk juga, Syria Care turut mengagihkan sebanyak 200 pek makanan kering dan 400 makanan siap dimasak bagi penghuni di tiga kem pelarian di Qabasin.

“Selain pek makanan, Syria Care turut memberi sumbangan wang tunai AS$5,000 (RM20,835) bagi penyediaan dua telaga air untuk kegunaan penghuni

di dua kem pelarian di sini,” katanya ketika ditemui ketika pengagihan misi bantuan musim sejuk Syria Care 7.0, kelmarin.

Dalam misi berkenaan, wartawan bersama petugas Syria Care dibawa meninjau keadaan di Kem Zamkaa.

Namun, cukup mengharukan apabila penghuni di kem berkenaan kemudian terus menyerbu konvoi sebaik mengetahui ada membawa pek makanan untuk diagihkan.

Lebih terharu apabila kanak-kanak di sana turut mengerumuni konvoi dengan harapan kami membawa sesuatu untuk mereka.

Ia sebagaimana dimaklumkan oleh seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, Turki Diyanet Vakfi (TDV) yang menyatakan bahawa kanak-kanak di situ berharap jika kami membawa mainan atau makanan ringan seperti gula-gula untuk mereka.

Berjuang demi lindungi penduduk

QABASIN: “Kami di sini bukan membalas dendam, sebaliknya kami berjuang untuk melindungi penduduk. Jika kami terkorban, doakan kami mati syahid,” kata Bilal Ibrahim, 24.

Pemuda itu menyertai pasukan pejuang bersenjata tempatan di sini, bagi mengekang keganasan dilakukan pemberontak Kurdis, Daish dan juga tentera Bashar Al Assad.

Bilal antara seorang daripada tiga pejuang tempatan ditemui wartawan di Kem Zamkaa di sini, yang dilantik sebagai pasukan polis tempatan di bawah seliaan tentera Turki bagi mengawal keselamatan dan melindungi penduduk kawasan itu.

Cuma, sebelum kehadiran tentera Turki, mereka bergerak sendiri dan mengangkat senjata hanya apabila pemberontak atau tentera Bashar membuat serangan.

“Kami bukan pemberontak sebaliknya kami berjuang di sini bagi mengawal kawasan Qabasin.

“Tugas kami berkawal dan bukan mengejar atau mencari untuk membunuh mereka (pemberontak).

“Cuma sebelum ini, kami bergerak sendiri dan kini pula berkhidmat di bawah seliaan tentera Turki pula,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Bilal berkata, dia mula menyertai pasukan bersenjata selepas abangnya menjadi individu pertama mati syahid selepas diserang tentera Bashar dalam demonstrasi jalanan pada 2011.

Menurutnya, ketika itu tiada pasukan bersenjata melindungi mereka sebelum penduduk mengambil keputusan menubuhkan pasukan sendiri.

“Walaupun ada senjata, kami sukar mengekang serangan pemberontak serta tentera Bashar kerana senjata yang ada sebenarnya lebih untuk kegunaan perburuan haiwan.

“Jadi, kami juga takut-takut dan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Cuma, apabila tentera Turki mula memasuki kawasan ini pada Januari lalu dan mengusir keluar pemberontak, barulah perasaan takut hilang dan kami dilantik mereka sebagai unit polis tempatan,” katanya.

Menurut Bilal lagi, sebelum kedatangan tentera Turki juga, hampir setiap hari kumpulan mereka terpaksa berbalas tembakan dengan pemberontak dan tentera Bashar.

“Alhamdulillah, kini keadaan sudah tenteram. Tiada lagi tembakan dan bunyi letupan roket atau bom.

“Harap keadaan ini kekal aman pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 10:18 AM