Mohd Firdaus Ibrahim di Garissa dan Kenya


UMURNYA baru mencecah sembilan bulan namun derita ditanggungnya terlalu berat.

Jameel Ahmed disahkan menghidap penyakit malaria, selain badannya dipenuhi cacar air dan bisul.

Dia mungkin meninggal dunia jika tidak menerima rawatan lanjut seperti empat lagi saudara kandungnya yang Jameel sendiri tidak sempat kenali.

Menurut ibunya, Fatimah Husin, 40, jika Jameel juga berakhir dengan kematian, dia mungkin membunuh diri.

"Empat anak saya sebelum ini sudah mati. Jameel adalah kekuatan saya kini," katanya ketika ditemui di kem Dadaab.

Memperincikan kisah empat lagi anaknya, Fatimah berkata, anak sulungnya Ahsan, 14, maut akibat sakit misteri ketika sedang melarikan diri dari Somalia ke Kenya, lima tahun lalu (2012).

"Anak kedua dan ketiga saya kembar, Aisa dan Anisa. Tahun lalu demam dan tak lama selepas itu mati. Mereka mati ketika berusia sembilan tahun," katanya.

Menurutnya, anak keempatnya Abdela pula maut ketika berusia empat tahun iaitu pada Januari lalu.

"Dia juga demam seperti Aisa dan Anisa," katanya menjelaskan ada pihak mengatakan anaknya maut disebabkan malaria namun mengakui tidak tahu punca sebenar kematian mereka.

Katanya, dia sudah merayu bantuan kepada penjaga kem untuk membawa Jameel ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Suami saya sudah usaha bermacam cara tetapi masih juga tidak berjaya untuk membawa Jameel ke hospital," katanya.

Fatimah yang ditanya bagaimana dia mengetahui bahawa Jameel menghidap malaria, katanya, seorang doktor dalam satu rombongan misi lawatan memberitahunya, minggu lalu.

"Lawatan doktor itu tidak membawa kebaikan kepada Jameel kerana tiada ubat bersama mereka.

"Doktor itu suruh saya rujuk ke hospital dan temui pakar untuk menerima rawatan. Tetapi, saya tiada duit. Malah bergerak keluar dari pada kem ini juga mustahil," katanya.

Tambahnya, doktor itu hanya memberikan ubat demam dan tahan sakit kepada Jameel namun tidak juga sembuh.

"Ubat diberinya itu juga sudah habis," katanya.

Untuk rekod, perang saudara yang meletus di Somalia pada 1991 menyebabkan beratus ribu rakyat negara itu lari ke sempadan Kenya bagi menyelamatkan diri.

UNHCR Kenya sehingga Julai 2017 merekodkan, 434,310 pelarian ditempatkan di kem Dadaab dan Kakuma.

Mengikut pecahan, pelarian dari Somalia (288,296), Selatan Sudan (107,806), DR Congo (13,450), Ethiopia (17,891), Sudan (2,952) dan

Lain-lain (3,915).

Sekurang-kurangya 500 kematian dilaporkan berlaku setiap bulan di kem Dadaab dan Kakuma akibat krisis kelaparan dan penyakit berjangkit.

Berita berkaitan

Hanya pisang lenyek juadah Aidiladha

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 9:43 PM
PENGARAH Urusan EZ Qurban Sdn Bhd, Azhar Ab Shukur (kanan) melawat Jameel Ahmed, 9 bulan, yang dan ibunya, Fatimah Husin, 40, di Kem Dadaab, Garissa. FOTO Fariz Iswadi Ismail
PENGARAH Urusan EZ Qurban Sdn Bhd, Azhar Ab Shukur (kanan) melawat Jameel Ahmed, 9 bulan, yang dan ibunya, Fatimah Husin, 40, di Kem Dadaab, Garissa. FOTO Fariz Iswadi Ismail