ANTARA keluarga mangsa banjir berlindung di sebuah kem sementara di daerah Jaffarabad, di wilayah Baluchistan, Pakistan. FOTO AP
ANTARA keluarga mangsa banjir berlindung di sebuah kem sementara di daerah Jaffarabad, di wilayah Baluchistan, Pakistan. FOTO AP
Reuters

Karachi: Angka kematian akibat malaria dan penyakit lain melanda wilayah yang dilanda banjir di Pakistan mencecah 324, kata pihak berkuasa pada Rabu.

Pelakon, Angelina Jolie berkata, beliau bimbang ramai yang ditemuinya semasa lawatan ke kawasan dilanda banjir minggu ini "tidak akan berjaya meneruskan kehidupan", jika lebih banyak bantuan tidak sampai.

Beratus-ratus ribu orang yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir kini tinggal di kawasan terbuka.

Air banjir bertakung, merebak sehingga ratusan kilometer, mungkin mengambil masa dua hingga enam bulan untuk surut.

Banjir besar itu juga menyebabkan peningkatan kes jangkitan kulit dan mata, cirit-birit, malaria, kepialu dan demam denggi.

Jolie, pelakon Hollywood dan aktivis kemanusiaan melawat orang yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan dia melihat beberapa kawasan yang paling teruk terjejas di wilayah selatan Sindh.

"Saya melihat nyawa yang terselamat. Tetapi tanpa bantuan yang mencukupi, ramai 'tidak akan berada di sini dalam beberapa minggu akan datang, mereka tidak akan berjaya'," katanya.

Komen beliau dibuat ketika lawatan ke Pusat Tindak Balas Banjir Negara, video rakaman dikongsi oleh tentera negara itu, Rabu lalu.

ANGELINA Jolie (kir) ketika melawat mangsa banjir di bandar Johi, daerah Dadu, wilayah Sindh. Ia antara kawasan teruk terjejas banjir di Pakistan. FOTO IRC / AFP
ANGELINA Jolie (kir) ketika melawat mangsa banjir di bandar Johi, daerah Dadu, wilayah Sindh. Ia antara kawasan teruk terjejas banjir di Pakistan. FOTO IRC / AFP

Pihak berkuasa dan pekerja bantuan berkata, lebih banyak bantuan segera diperlukan untuk keluarga yang berpindah, namun pada sama terdedah kepada kawanan nyamuk serta bahaya lain seperti gigitan ular dan anjing.

Di sebalik usaha kerajaan dan organisasi bantuan tempatan atau luar, masih terlalu ramai memerlukan makanan, tempat tinggal, bantuan perubatan serta ubat-ubatan.

Dengan sistem kesihatan Pakistan yang sudah lemah dan kekurangan sokongan, keluarga sudah berpindah, mengadu terpaksa minum dan memasak dengan air yang tidak selamat.

Kerajaan wilayah Sindh berkata, kemudahan kesihatan sementara dan kem bergerak di kawasan banjir setakat Rabu sudah merawat lebih 78,000 pesakit dalam tempoh 24 jam terakhir, dan lebih dua juta sejak 1 Julai. Enam daripada mereka meninggal dunia.

Ia mengesahkan 665 kes malaria baharu dalam kalangan keluarga pelarian dalaman pada tempoh yang sama, dengan 9,201 lagi kes yang disyaki.

Ia berkata, satu perempat daripada lebih 19,000 pesakit yang disaring dalam tempoh 24 jam terakhir di seluruh wilayah itu positif malaria membabitkan sejumlah 4,876.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Pakistan berkata kes malaria, kepialu dan cirit-birit merebak dengan cepat, menambah 44,000 kes malaria dilaporkan minggu ini di wilayah selatan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan untuk wilayah Balochistan barat daya, Dr Noor Ahmed Qazi, berkata malaria merebak dengan cepat di kawasan sekitar perairan bertakung.

"Kami menerima pesakit malaria dalam jumlah besar setiap hari di kem perubatan dan hospital," katanya kepada Reuters, sambil menambah: "Kami memerlukan lebih banyak ubat dan kit ujian di kawasan yang dilanda banjir."

Kematian akibat penyakit tidak dikira dalam kalangan 1,569 orang yang terkorban dalam banjir kilat, termasuk 555 kanak-kanak dan 320 wanita, kata agensi pengurusan bencana negara itu pada Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 3:01 PM