Mohd Firdaus Ibrahim


Kuala Lumpur: Lebih 270,000 pelarian Somalia di kem Dadaab, Kenya akan disantuni rombongan EZ Qurban Sdn Bhd yang dijadualkan berkunjung ke negara berkenaan sempena Kembara Korban 2017.

Kenya menjadi destinasi ke-17 dalam senarai EZ Qurban bagi melaksanakan ibadah korban hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Untuk rekod, EZ Qurban sudah melakukan Kembara Korban di negara bergolak, minoriti Islam dan miskin seperti Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Filipina, Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, India, Sri Lanka, Chad, Mali, Somali, Somalia, Palestin dan Maghribi.

Pengurus EZ Qurban Sdn Bhd Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin berkata, pihaknya dijadualkan berlepas ke Kenya 30 Ogos ini hingga 6 September depan.

“Kembara Korban di Kenya adalah program pertama di negara berkenaan. Saya harap semuanya berjalan lancar seperti dirancang. Kami dijadualkan menyantuni pelarian di kem Dadaab yang mempunyai 270,000 orang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat EZ Qurban Sdn Bhd, di Batu Caves, dekat sini, semalam.

Menurut Muhammad Hafeez, selain Kenya, pihaknya juga akan menghantar satu lagi rombongan ke Chad untuk melakukan ibadah korban.

“Di Chad, 1,000 lembu akan dikorbankan sebelum dagingnya diagihkan di kem pelarian dan penduduk tempatan. Rombongan ini juga dijadual bergerak ke Chad 30 Ogos ini,” katanya.

Katanya, Kembara Korban di lain-lain negara selain Chad dan Kenya juga dijadualkan berjalan seperti biasa.

“Di negara berkenaan, kita sudah serahkan pengendalian ibadah korban dan pengagihan daging kepada penduduk tempatan melalui wakil tetap EZ Qurban di sana,” katanya.

Muhammad Hafeez berkata, setakat ini, 2,892 lembu dan 692 kambing ditempah peserta program korban dari seluruh negara.

“Peserta yang berminat ataupun memerlukan maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-61861911 serta layari laman web www.ezqurban.org untuk maklumat lanjut,” katanya menjelaskan 4,910 lembu dan 1,124 kambing disembelih sempena ibadah korban tahun lalu membabitkan 34,190 peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 5:37 AM
PROGRAM ibadah korban anjuran Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU) bersama EZ Qurban Sdn Bhd dan Yayasan Mahabbah Malaysia di Chad, Afrika sempena sambutan Aidiladha tahun lalu.
PROGRAM ibadah korban anjuran Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU) bersama EZ Qurban Sdn Bhd dan Yayasan Mahabbah Malaysia di Chad, Afrika sempena sambutan Aidiladha tahun lalu.