Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Bagi saya peluang sekali lagi. Kali ini saja."

Itu pinta usahawan, Datuk Seri Adnan Abu, 46, atau Datuk Red yang mahukan isteri pertama, Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim dan isteri kedua, Adira Suhaimi menarik balik permohonan cerai mereka.

Adnan berkata, keputusan membabitkan perkahwinannya dengan Adira bakal diketahui esok menerusi proses hakam selepas Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada Mac lalu gagal disepakati, manakala keputusan kes bersama isteri pertama bakal diketahui pada Jun depan.

"Kepada kedua isteri, saya tahu sebelum ini mereka lalui banyak cabaran dan dugaan. Kesedihan mereka melebihi kegembiraan bila bersama saya, itu diakui. Alhamdulillah, saya masih bernyawa dan sihat. Bagi saya peluang, tariklah permohonan cerai itu.

"Bagi saya jalankan tanggungjawab sebagai suami dan ayah kepada anak-anak. Insya-Allah, saya akan cuba berlaku adil dan menjadi suami yang baik. Apabila saya berjaya nanti, saya nak kedua-kedua sayap saya ini ada bersama saya. Itu yang saya harap sangat. Jadi, tariklah.

"Untuk anak-anak, saya dah cuba selamatkan rumah tangga ini. Kalau memang perceraian terjadi juga, saya harap anak-anak pun kuat tempuh. Cuma pesan saya, teruskan tanggungjawab sebagai anak, hormat orang tua, dan doa saya sentiasa mengiringi kejayaan mereka," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia sentiasa berusaha untuk mempertahankan perkahwinan dibina selain tidak henti memujuk.

"Macam Adira dia fail cerai tahun lalu. Dari saat itu saya cuba pujuk semula sampai tarikh akhir 24 April ini. Saya merayu, pujuk dan berserah pada Allah. Dia terima pujukan atau tak kena tunggu keputusan esok.

"Sebenarnya, selagi boleh diselamatkan, saya cuba selamatkan. Saya mengenang dah ada empat anak dengan Adira. Itu satu pengorbanan untuk anak-anak saya. Tapi itulah, macam orang kata, jika kita tak boleh nak bagi kebahagiaan kepada isteri-isteri, jangan bagi mereka menderita.

"Macam dengan Adira pun, selepas dia balik umrah, saya tak tanya soal nak tarik permohonan cerai atau tak. Saya biarkan saja dan kami jalankan kehidupan macam biasa. Biarlah ia berakhir dengan air mata kegembiraan. Itu yang saya nanti," katanya.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan perceraian berikutan tiada persefahaman.

Sebelum ini, Adira pernah memfailkan perceraian pada 2019, namun menarik semula demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun.

Perkahwinan Adnan dengan isteri pertamanya yang dikenali sebagai Datin Red mempunyai lima anak.

Sebelum perkahwinan itu, Adnan pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun dan berpisah lima tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, dia dikurniakan dua anak dan secara keseluruhan mempunyai 11 anak menerusi tiga perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 5:05 PM