Kuza (kiri) bersama anak- anak. FOTO Instagram
Kuza (kiri) bersama anak- anak. FOTO Instagram
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Kuza, 48, berkongsi rasa syukur apabila dia mampu membesarkan tiga cahaya matanya dengan berjaya meskipun pernah bergelar ibu tunggal seawal usia 26 tahun.

Kuza atau nama sebenarnya Tengku Sariza Tengku Muzani berkata, usaha itu bukan mudah dan perlukan perhatian yang sangat berterusan demi memastikan serba-serbi keperluan anak-anak terjaga.

"Alhamdulillah, anak-anak dah besar. Ingat lagi, masa nak besarkan anak-anak dahulu. Saya jadi ibu tunggal, muda lagi masa itu umur 26 tahun dan anak-anak kecil lagi.

"Masa itu saya betul-betul 'struggle' semua kena tanggung sendiri tanpa bantuan sesiapa. Susah jugalah nak besarkan anak-anak yang masih nak mula sekolah.

"Bayangkan, nak bayar duit sekolah, duit sewa rumah, belanja tiap-tiap bulan, memang peritlah. Alhamdulillah, anak-anak saya dah  besar semua, dah ada kerja masing-masing," katanya.

Pelakon filem Tanda Putera itu percaya komunikasi yang berkesan juga antara faktor penting bagi mengajar anak-anak untuk menghargai erti kehidupan.

"Anak ini amanah dari Allah, kita ibu ibarat madrasah. Jangan sekali-kali menyerah kalah dengan hidup. Kena percaya ia adalah rancangan terbaik dari Allah.

"Dengan anak-anak, selalu kena tanya khabar, bawa berbual, kongsi rasa, kongsi ilmu, kongsi hidup. Semua kena kongsi baru anak-anak faham erti hidup.

"Sekarang ini, tiba masa untuk saya lihat hasil yang saya semai. Saya syukur Allah tidak uji saya dengan masalah anak, Allah uji saya dengan masalah hidup. Kalau masalah anak, lagi mencabar," katanya.

Kuza pernah berkahwin kali ketiga dengan Ramyus Sidique pada 2007 dan bercerai pada 2019. Mereka bagaimanapun, tidak dikurniakan cahaya mata.

Pada perkahwinan terdahulunya, pelakon itu dikurniakan anak iaitu Nizam Firdaus, 27, Puteri Nazihah, 26, dan Puteri Nadia, 16.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 4:23 PM