Manickam (tengah) melihat pelan projek bekalan elektrik luar bandar di Kampung Orang Asli Jeram Padang.
Manickam (tengah) melihat pelan projek bekalan elektrik luar bandar di Kampung Orang Asli Jeram Padang.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Penantian hampir tiga dekad penduduk untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik bakal berakhir apabila kerajaan melaksanakan projek berkenaan, sekali gus mampu memberi manfaat kepada 37 kediaman di Kampung Orang Asli Jeram Padang dan Kampung Orang Asli Sungai Lui, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baru negeri Datuk L Manickam berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM2 juta bagi menyiapkan kemudahan infrastuktur termasuk pemasangan tiang dan kabel elektrik yang bakal dimulakan pada Januari depan.

“Semua urusan berkaitan teknikal diselesaikan KKLW dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kontraktor berkelayakan dilantik TNB untuk memulakan kerja pemasangan itu,” katanya ketika mengadakan lawatan di Kampung Orang Asli Jeram Padang, di sini, kelmarin.

Manickam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang berkata, penduduk di dua kampung berkenaan menantikan bekalan elektrik, selain bekalan air bersih yang dijangka diselesaikan tahun depan.

Katanya, kelewatan menyediakan dua kemudahan itu berikutan beberapa masalah yang perlu diselesaikan terlebih dulu oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 6:21 AM