RUMAh pam air Kampung Orang Asli Sungai Raya yang mengalami kerosakan sehingga menyebabkan bekalan air kepada penduduk terputus. FOTO Abnor Hamizam
RUMAh pam air Kampung Orang Asli Sungai Raya yang mengalami kerosakan sehingga menyebabkan bekalan air kepada penduduk terputus. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


KELEWATAN kontraktor membaiki kerosakan peralatan di rumah pam air Kampung Orang Asli Sungai Raya di sini, menyebabkan 24 keluarga di kampung berkenaan terputus bekalan air selama dua bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang Datuk L Manickam berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebelum itu sudah melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan dan baik pulih Mac lalu.

Beliau yang kecewa dengan kelewatan kontraktor menyiapkan kerja di rumah pam itu berharap masalah itu dapat diatasi dengan segera.

"Rumah pam ini menggunakan sumber air bawah tanah dan bekalan air gagal disalurkan ke rumah penduduk apabila tiub penyaluran air rosak.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kontraktor sudah dilantik bagi menjalankan kerja baik pulih dan apabila PKP dilaksanakan 18 Mac lalu, kerja itu terhenti," katanya dihubungi.

Manickam berkata, berikutan itu, penduduk yang terputus bekalan air terpaksa mengangkut air dari sungai berdekatan yang tidak diketahui tahap kebersihan.

Beliau bagaimanapun meminta Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) menghantar tangki dan bekalan air ke kampung berkenaan pada awal April lalu.

"Kontraktor diharap dapat menyiapkan kerja berkenaan dalam tempoh terdekat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 3:42 PM