ISMAIL Sabri (tengah) bersama Timbalan KKLW, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Telaga Tiub, Tangki Air Menara  dan Pemasangan Paip Air Utama, Temangan, Machang.
ISMAIL Sabri (tengah) bersama Timbalan KKLW, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Telaga Tiub, Tangki Air Menara dan Pemasangan Paip Air Utama, Temangan, Machang.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Machang: Kesulitan dihadapi lebih 10,000 penduduk sejak sekian lama berhubung masalah bekalan air akhirnya selesai apabila Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) membina telaga tiub, tangki menara dan pemasangan paip utama di Temangan di sini.

Antara kampung yang berdepan masalah bekalan air termasuk Kerella, Pertok, Paloh Rawa, Merbau Labi dan Kampung Cina.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek membabitkan kos keseluruhan RM5 juta itu akan dimulakan bulan hadapan.

Katanya, projek itu dijangka siap Ogos tahun depan, sekali gus menamatkan masalah yang dialami penduduk kampung sejak sekian lama.

“Projek ini membabitkan pembinaan empat telaga tiub berkapasiti empat juta liter sehari, pembinaan sistem pembasmian kuman dan pembinaan tangki menara berkapasiti 1.5 juta liter.

“Sebaik saja projek ini siap, ia akan memberikan tambahan bekalan air bersih terawat kepada 10,000 pengguna selain menyelesaikan masalah agihan air kepada pengguna.

“Penduduk kampung akan mendapat bekalan secara berterusan. Kami yakin menerusi projek berkenaan masalah dialami penduduk dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Tapak Projek Pembinaan Telaga Tiub, Tangki Air dan Pemasangan Paip Utama di Temangan di sini, kelmarin.

Sementara itu, penduduk Kampung Temangan, Tijah Mat Husin, 64, meluahkan rasa syukur apabila masalah yang dialami sejak belasan tahun akhirnya diselesaikan.

Katanya, mereka sebelum ini buntu berhubung masalah air kerana ada ketikanya sehingga sebulan terputus bekalan air.

“Setiap kali berdepan masalah, kami terpaksa memunggah air sungai untuk kegunaan di rumah. Akhirnya masalah kami hampir selesai.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana membantu menyelesaikan masalah kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 11:06 AM