SPIETH menamatkan aksi dengan satu di atas par 72 pada pusingan pertama di Quail Hollow.
SPIETH menamatkan aksi dengan satu di atas par 72 pada pusingan pertama di Quail Hollow.
AFP

Charlotte: Kehadiran Micheal Phelps (gambar), legenda renang Olimpik dengan 23 pingat emas dan juga rakannya masih gagal mencetus inspirasi buat Jordan Spieth mengatasi masalah putting pada Kejuaraan PGA semalam.

Spieth, pemain nombor dua dunia yang memburu kemenangan Grand Slam sepanjang karier pada usia 24 tahun selepas menjuarai Terbuka Britain bulan lalu, bergelut untuk menamatkan aksi dengan satu di atas par 72 pada pusingan pertama di Quail Hollow, ketinggalan tiga pukulan berbanding pendahulu bersama Thorbjorn Olesen dari Denmark dan Kevin Kisner dari Amerika Syarikat.

Jordan memerlukan 32 putts untuk menyudahkan aksi di green yang jauh lebih laju, yang ternyata terlalu hebat buatnya biarpun sedikit hujan pada awal minggu.

“Saya tidak pernah melakukan putt seteruk hari ini,” kata Spieth.

“Jika anda katakan kepada saya bahawa saya akan membuat pukulan seperti hari ini, saya mungkin boleh membuat beberapa pukulan di bawah par dan ia skor yang menakjubkan.

“Skor itu tidak akan setinggi hari ini jika saya memukul bola seperti hari ini.”

Skor mengecewakan itu hadir ketika Phelps yang mencatat rekod tunggal Olimpik dengan lapan pingat emas di Beijing pada 2008, masuk ke lapangan itu dan menyaksikan Spieth memulakan misinya menjadi pemain lelaki keenam menjuarai keempat-empat gelaran utama sepanjang karier dan menjadi yang termuda melakukannya.

“Ia memang hebat,” kata Spieth. “Dia rakan dan juga mentor. Memang menakjubkan mempunyai mentor seperti itu. Dia menghantar mesej awal minggu. Saya fikir dia datang ke sini untuk bersiar dan berkata akan pulang keesokan harinya.

“Kami makan malam, berbual mengenai banyak perkara yang saya mungkin lebih suka rahsiakan. Kebanyakannya mengenai persediaan dan pendekatan mental.”

Perkara seperti itu diperlukan Spieth jika mahu menjulang Trofi Wanamaker pada Ahad dan menyertai Tiger Woods, Jack Nicklaus, Gene Sarazen, Gary Player dan Ben Hogan dalam senarai pencapaian Grand Slam sepanjang karier.

“Apabila saya mempunyai peluang dan gagal memukul bola dengan tepat ke green, itu yang menyebabkan saya amat kecewa,” kata Spieth.

“Saya tidak fikir saya terlepas sebarang putt pendek. Pukulan jauh saya pergi terlalu perlahan. Yang lain semuanya baik. Masalahnya adalah putter.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 5:57 AM