YOUNG Han ceria memperaga trofi kejohanan.
YOUNG Han ceria memperaga trofi kejohanan.

Singapura: Pemain Korea Selatan Song Young Han memenangi wang tunai AS$1 juta (RM4.15 juta) selepas menjuarai Terbuka Singapura SMBC dengan mengetepikan pemain nombor satu dunia Jordan Spieth.

Young Han merakam satu bawah par 70 pada pusingan akhir untuk mengumpul keseluruhan 12 bawah par 272, satu pukulan mengatasi Spieth yang mencatat 66 pukulan semalam.

Pemain China Liang Wen Chong (69) menduduki tangga ketiga dengan 274 manakala Miguel Tabuena (68) dari Filipina dan pemain Jepun Shintaro Kobayashi (71) di tangga keempat dengan 275 pukulan.

Pusingan akhir di Kelab Golf Serapong di Pulau Sentosa terpaksa ditangguhkan kelmarin gara-gara masalah petir, sejurus sebelum Spieth melakukan putt untuk mencatat birdie di lubang ke-18.

Spieth bagaimanapun tetap berjaya melakukan birdie apabila permainan disambung pagi semalam tetapi Young Han yang bermain di dua kumpulan di belakang Spieth, enggan mengalah sebaliknya mencatat par di tiga lubang terakhirnya untuk bergelar juara.

Ia kejayaan sulung Young Han selepas enam kali menamatkan saingan selaku naib juara di Jepun dan Korea sejak 2013.

Young Han berkata, dia berasa tertekan apabila kejohanan itu ditangguhkan.

“Tempoh semalam terasa seperti seminggu,” kata pemain berusia 24 tahun itu. “Saya tidak lalu makan kerana sepanjang malam saya asyik memikirkan soal green di lubang ke-16,” ujarnya.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 6:56 AM