Mazizul Dani

BELUM seminggu Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK) berkelas dunia dibuka kepada orang awam, ia sudah menjadi mangsa individu berfikiran kelas ketiga.

Beberapa kemudahan di stesen MRT bagaikan tempat 'mengekspresi diri' atau lebih tepat menjadi mangsa vandalisme.

Kira-kira RM10,000 sudah dibelanjakan bagi kos pembaikan kerosakan akibat vandalisme hanya selepas lima hari pertama MRT-SBK beroperasi.

Penulis membuat tinjauan bermula di LRT Bangsar dan bertukar ke laluan MRT di Stesen Pasar Seni, menuju Stesen Maluri selepas Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT, Datuk Najmuddin Abdullah, memuat naik mengenai vandalisme MRT di Facebook.

Najmuddin Abdullah yang meluangkan masa melawat beberapa stesen pagi tadi menulis: “Saya gembira melihat ibu bapa dan anak-anak menggunakan MRT namun apa yang menyedihkan berlakunya kerosakan atau vandalisme hanya selepas lima hari beroperasi.

"Banyak kesan calar pada bangku dan dinding. Kerosakan di tandas Orang Kelainan Upaya (OKU) pula berlaku sejak dua hari lalu.

"Pagi tadi saya lihat penyapu dan lampu di atas bumbung pintu keluar F atau Jalan Sultan Ismail di Stesen Bukit Bintang!," tulisnya di FB.

Hasil tinjauan, kerosakan tandas OKU Stesen Maluri sudah diperbaiki, beberapa jam selepas Najmuddin memuat naik beberapa gambar kerosakan itu di FB.

Dari Stesen Maluri, penulis ke Stesen Bukit Bintang dan mendapati penyapu serta lampu di atas bumbung di pintu keluar F juga sudah dibersihkan.

Najmuddin ketika dihubungi berkata, tindakan segera diambil membaiki kerosakan demi keselesaan penumpang.

“Kemudahan MRT ini bertaraf dunia. Tanpa kesedaran sivik yang tinggi atau kekal bersifat nakal dan tidak bertanggungjawab hanya akan merugikan kita semua.

"Setakat ini, kira-kira RM10,000 digunakan bagi menampung kos pembaikan kerosakan akibat vandalisme pada lima hari pertama MRT-SBK beroperasi," katanya.

Beliau juga mahu masyarakat bersama-sama mendidik anak-anak dan ahli-ahli keluarga agar menjaga kemudahan demi generasi akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Datuk Zohari Sulaiman menerusi Twitter berkata, sehingga 21 Julai, MRT SBK yang mempunyai 31 stesen sudah digunakan lebih 110,000 orang.

MRT SBK Fasa Kedua dari Semantan ke Kajang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 17 Julai lalu manakala Fasa Pertama dari Sungai Buloh ke Semantan dilancarkan pada 16 Disember 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 9:35 PM
Tandas OKU yang rosak serta penyapu dan lampu yang dicampak ke atas bumbung dirakam Datuk Najmuddin yang kini sudah diperbaiki dan bumbung dibersihkan. - Foto Ihsan Datuk Najmuddin/Mazizul Dani.
Tandas OKU yang rosak serta penyapu dan lampu yang dicampak ke atas bumbung dirakam Datuk Najmuddin yang kini sudah diperbaiki dan bumbung dibersihkan. - Foto Ihsan Datuk Najmuddin/Mazizul Dani.